Alliance Bank jalin kerjasama dengan Universiti Monash, INCEIF bantu PKS percepat penerapan ESG | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank jalin kerjasama dengan Universiti Monash, INCEIF bantu PKS percepat penerapan ESG

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Alliance Bank Malaysia Berhad bekerjasama dengan Universiti Monash Malaysia dan Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF University) untuk menjalankan penyelidikan dan mendapatkan pandangan industri bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempercepatkan penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerjasama itu akan membantu memacu penyelidikan bagi melihat keperluan dan peluang ESG khusus industri bagi mengisi jurang pengetahuan serta garis panduan dalam membantu perniagaan Malaysia menerapkan ESG, sama ada mereka beroperasi dalam pasaran konvensional atau Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kellee Kam berkata, pihaknya  percaya  perniagaan  yang menerapkan amalan ESG akan memperoleh kelebihan daya saing yang membolehkan mereka meraih lebih banyak peluang pertumbuhan.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa perniagaan yang menerapkan amalan ESG akan memperoleh kelebihan daya saing yang meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik bagi mendapat peluang pertumbuhan baharu.

 

"Perkongsian baharu ini menghimpunkan kepakaran dan sumber pelengkap yang akan membantu memacu pembangunan dan program untuk peniaga bagi mempercepatkan keluk pembelajaran mereka dan menerap amalan kemampanan,” katanya.

 

 

alliance

 

Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, matlamatnya adalah untuk merapatkan jurangpengetahuan dan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bagi menangani keperluan khusus industri.

 

Beliau berkata, cabaran dan peluang yang dihadapi oleh PKS dalam perjalanan ke arah kemampanan adalah unik dan kerjasama dengan Alliance Bank itu membolehkan pihaknya mendalami selok-belok tersebut.

 

"Kami percaya bahawa perkongsian pengetahuan, penyelidikan dan kerjasama dengan pemain industri utama adalah langkah penting ke arah membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing untuk perniagaan ini," katanya.

 

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Profesor Datuk Dr. Mohd. Azmi Omar berkata, pihaknya menyokong peralihan ESG dalam segmen ekonomi akan mengupayakan daya saing mereka, sekali gus menggalakkan rangkuman kewangan yang lebih besar.

 

“Melalui program akademik dan penyelidikan gunaan kami, INCEIF University terus mencari  inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menggabungkan kewangan Islam dan kewangan sosial Islam sebagai penyelesaian untuk menangani masalah sosio-ekonomi, dan melaksanakan projek yang boleh dilaksanakan bagi menangani cabaran dalam kalangan kumpulan yang terdedah dalam masyarakat, berikutan ketidaktentuan ekonomi dan sosialmenjadi kebimbangan global," katanya. - DagangNews.com