Alliance Bank tawar pengecualian pembayaran pinjaman kepada pelanggan terjejas | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank tawar pengecualian pembayaran pinjaman kepada pelanggan terjejas

Alliance Bank Malaysia Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) menawarkan pelbagai pakej bantuan pengecualian pembayaran untuk membantu meringankan masalah kewangan pelanggan yang terjejas akibat COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Joel Kornreich berkata, bantuan tersebut juga bermatlamat untuk membantu aliran tunai pelanggan apabila berakhirnya moratorium pada 30 September 2020.

"Bantuan ini disasarkan khusus kepada mereka yang kehilangan kerja, kumpulan B40 dan mereka yang bekerja dalam sektor paling terjejas seperti hotel, pengendali pelancongan, restoren atau penerbangan.

"Oleh kerana tempoh moratorium akan berakhir pada 30 September 2020, kami menasihatkan pelanggan kami untuk membuat perancangan awal dan membuat perbincangan kewangan dengan kami secepat mungkin untuk menentukan pakej bantuan yang paling sesuai kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi ketegori individu yang kehilangan kerja atau berada dalam sektor paling terjejas, pihak bank akan melanjutkan tempoh moratorium selama tiga bulan lagi hingga 31 Disember 2020.

Mereka yang mengalami pengurangan jumlah pendapatan pula boleh memilih untuk membuat pembayaran ansuran bulanan pada kadar yang lebih rendah selama 12 bulan.

Sementara itu, bagi individu lain di luar kategori berkenaan, pihak bank turut menawarkan bantuan pengubahsuaian pinjaman agar sesuai dengan kemampuan pembayaran pinjaman pelanggan.

Bagi kategori perniagaan, bank turut menawarkan pakej pengecualian pembayaran kepada perniagaan yang mengalami pengurangan pendapatan atau beroperasi dalam sektor yang paling terjejas.

"Sejak Mac 2020, bank telah memberi moratorium pinjaman kepada pelanggan, Kemudahan Bantuan Khas berjumlah lebih daripada RM600 juta serta pelbagai program pengubahsuaian pinjaman lain.

"Manakala bantuan pembayaran ini adalah lanjutan daripada komitmen Alliance Bank untuk membantu pelanggan dalam aspek kewangan dalam tempoh mencabar ini," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, bantuan bukan kewangan turut dijalankan melalui platform berbeza seperti inisiatif #SupportLokal dan portal BizSmart Solution yang bertujuan untuk membantu perniagaan tempatan meluaskan jaringan perniagaan mereka secara dalam talian.

Pelanggan boleh menyediakan maklumat lengkap ke emel www.alliancebank.com.my untuk tindakan dan nasihat lanjut berkaitan pakej bantuan pengecualian pembayaran berkenaan.- DagangNews.com