Allianz General tawar bantuan tepi jalan percuma bagi motosikal 250cc ke bawah | DagangNews Skip to main content

Allianz General tawar bantuan tepi jalan percuma bagi motosikal 250cc ke bawah

 Allianz Road Rangers

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menawarkan bantuan tepi jalan secara percuma untuk pemegang polisi bantuan motosikal komprehensif di bawah 250cc.

 

Perkhidmatan tersebut disediakan oleh Allianz Road Rangers, termasuk bantuan kecemasan untuk penundaan (percuma hingga 50km, perjalanan pergi balik), penghantaran bahan bakar, bateri, dan perkhidmatan tayar pancit.

 

Sehubungan itu, mana-mana pelanggan Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif) atau Allianz Motorcycle (Komprehensif) di bawah 250cc boleh menghubungi talian bantuan 24 jam Allianz Road Rangers di 1800-22-5542 untuk meminta juruteknik atau trak tunda.

 

Bantuan yang akan diberikan termasuk kerja pembaikan, atau perkhidmatan penunda.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Wang berkata, penunggang motosikal telah lama menunggu perkhidmatan yang lebih baik ketika berada di atas jalan raya dan menjadi satu perkara bagi pertimbangan syarikatnya.

 

Sean Wang
Sean Wang

 

"Kami memulakan perkhidmatan Allianz Road Rangers untuk pelanggan kami (kereta persendirian) yang komprehensif pada tahun 2017, dan kami mampu memberikan manfaat yang sama untuk pemegang polisi komprehensif motosikal di bawah 250cc kami," 

 

"Penunggang motosikal sangat kurang mendapat perhatian di Malaysia dengan perkhidmatan selepas jualan yang terhad seperti kemalangan atau bantuan di tepi jalan. 

 

"Sebilangan syarikat pengendali mengelakkan dari memilih jenis perkhidmatan ini kerana ia tidak menguntungkan berbanding dengan penundaan kereta, tetapi Allianz General memilih untuk melaksanakannya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perkhidmatan yang ditawarkan itu bermatlamat untuk mengubah keadaan dengan menawarkan bantuan dan janji kepada penunggang motosikal bahawa Allianz Road Rangers sentiasa menawarkan bantuan apabila anda memerlukannya.

 

Selain itu, Allianz Motorcycle Plus kini menawarkan perlindungan yang lebih baik dengan Perlindungan Kemalangan sebanyak RM10,000 (untuk kematian atau hilang upaya kekal) dan Pendapatan Hospital hingga RM6,000 (RM100, hingga 60 Hari) untuk polisi Komprehensif dan polisi Pihak Ketiga tanpa caj tambahan.

 

Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif) juga merangkumi perlindungan untuk kerugian atau kerosakan pada motosikal anda akibat kemalangan, kebakaran, dan kecurian serta kematian pihak ketiga dan kecederaan badan dan kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga.

 

Dalam pada itu, ia turut memberi Perlindungan Keselamatan Keseluruhan Peril (yang meliputi banjir, tanah runtuh atau bencana alam). 

 

Bagaimanapun, Allianz Motorcycle Plus (Pihak Ketiga Sahaja) pula menawarkan kematian pihak ketiga dan kecederaan badan; dan kerugian atau kerosakan harta benda pihak ketiga. - DagangNews.com