KUALA LUMPUR 2 Dis - Allianz Malaysia Berhad bekerjasama dengan Malaysia International Search and Rescue (MISAR) untuk menyediakan latihan persediaan menghadapi banjir untuk orang awam, ahli Allianz We Care Community dan kakitangannya.
Latihan tersebut telah diadakan buat pertama kali pada 4 September 2022 untuk orang ramai, termasuk pengajaran tentang cara menyelamatkan diri dari kereta yang tenggelam, menyelamatkan haiwan peliharaan dan pengendalian Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kecemasan banjir dan lain-lain.
Sementara itu, latihan kedua telah dijalankan pada 30 Oktober 2022 untuk ahli Allianz We Care Community dan kakitangan Allianz Malaysia.
Aktiviti yang dijalankan termasuk menyediakan beg kecemasan menyelamatkan diri dan pengkalisan air, penggunaan selimut hipotermia, dan menghantar isyarat SOS semasa banjir, antara lain.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, latihan persediaan menghadapi banjir adalah penting untuk menyediakan orang ramai menghadapi musim tengkujuh kerana banjir kilat berlaku pada skala yang lebih besar, terutamanya di sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur.
"Kami percaya kesiapsiagaan bencana adalah penting dalam mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan yang dialami oleh komuniti yang terdedah kepada banjir serta masyarakat yang lebih luas, apabila banjir berlaku di kawasan perumahan yang lebih besar berbanding sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada awal bulan Julai, Allianz Malaysia menyediakan bantuan kewangan untuk operasi bantuan banjir MISAR di Baling, Kedah.
Sumbangan itu adalah untuk keperluan termasuk makanan, pakaian dan lampin untuk mangsa, dan lain-lain.
Antara November dan Disember tahun lepas, Allianz Malaysia membantu MISAR dalam pelbagai operasi bantuan banjir di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, dan Kelantan dengan menderma dan menjadi sukarelawan di Akademi MISAR untuk membungkus barangan bantuan untuk mangsa banjir. - DagangNews.com