Allianz PrimeCover gabung 3 perlindungan | DagangNews Skip to main content

Allianz PrimeCover gabung 3 perlindungan

Joseph Gross

Joseph Gross

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) melancarkan pelan insurans baharu iaitu Allianz PrimeCover.

 

Pelan terbaharu itu adalah pelan perlindungan pertama yang menggabungkan perlindungan untuk kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta pendapatan untuk penyakit kritikal di bawah satu pelan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross berkata, produk berkenaan mensasarkan pelanggan yang memerlukan perlindungan insurans yang tinggi ketika berada dalam tahun pendapatan produktif mereka dan merancang warisan kewangan mereka untuk generasi seterusnya.

 

"Allianz PrimeCover bertujuan untuk memberikan perlindungan bagi individu yang diinsuranskan dan keluarganya sekiranya berlaku sebarang kecelakaan. 

 

"Sekiranya yang diinsuranskan meninggal dunia atau didiagnosis dengan TPD, keluarganya akan tetap mempunyai kewangan yang stabil untuk meneruskan kehidupan. 

 

"Walaupun dengan hanya memiliki harga premium yang berpatutan, pelan tersebut menjamin perlindungan nyawa hingga tiga kali ganda jumlah yang diinsuranskan atau nilai akaun, bergantung kepada jumlah yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Allianz PrimeCover mempunyai tiga pilihan untuk jangka masa pembayaran premium iaitu bayaran-enam (tempoh pembayaran premium selama enam tahun), bayaran-10 dan bayaran-penuh dengan jangka masa perlindungan sehingga usia 60, 70, 80 atau 100.

 

Perlindungan minimum yang dijamin untuk pelan tersebut berjumlah RM500,000 untuk individu berumur 50 tahun ke bawah, dan RM350,000 untuk individu yang berumur 51 tahun ke atas.

 

Tambahnya, pelan tersebut menyediakan pendapatan untuk penyakit kritikal selama tiga tahun sekiranya individu yang diinsuranskan disahkan menderita penyakit kritikal.

 

Dalam pada itu, ia juga mempunyai manfaat Prime Booster, di mana ia membayar jumlah yang setara dengan 1.5% dari jumlah asas yang diinsuranskan ke atas polisi setiap lima tahun bermula dari tahun polisi ke-20 atau usia 60 tahun, bergantung kepada masa yang lebih lama. 

 

Perkara tersebut dapat meningkatkan nilai akaun untuk mencapai lebih banyak simpanan bagi tujuan warisan.

 

"Bersempena dengan pelancaran produk baru ini, Allianz Life telah melaksanakan dua kempen, iaitu kempen Bonus Tunai dan Jumlah Diinsuranskan Percuma. Kempen ini hanya layak untuk pelan bayaran-penuh.

 

"Bagi kempen Bonus Tunai, premium asas satu bulan akan dikembalikan kepada pelanggan yang layak dengan mengkreditkan jumlah tersebut ke dalam polisi. Sementara itu, kempen Jumlah Diinsuranskan Percuma menawarkan jumlah asas 10% percuma yang dijamin semasa perlindungan kematian / TPD sehingga kematangan polisi," ujar beliau. - DagangNews.com