Alpha IVF lancar operasi pejabat baharu di Shanghai, tarik lebih ramai pesakit dapatkan rawatan reproduktif  | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF lancar operasi pejabat baharu di Shanghai, tarik lebih ramai pesakit dapatkan rawatan reproduktif 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Alpha IVF Group Berhad melancarkan operasi pejabat wakil jualan baharu di Daerah Huangpu, Shanghai bagi mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan dan menarik lebih ramai pesakit China untuk mendapatkan rawatan reproduktif. 

 

Pejabat baharu berhampiran Hospital Obstetrik dan Ginekologi Universiti Fudan itu merupakan langkah strategik kumpulan bagi pengembangan wilayahnya.

 

Alpha IVF berkata, pejabat itu telah bermula operasinya sejak 4 September 2024, melalui anak syarikat milik penuh Kumpulan Alpha International (Shanghai) Medical Consulting Limited. 

 

"Ia menyasarkan untuk memanfaatkan pasaran persenyawaan in-vitro (IVF) China yang berkembang pesat.

 

"Kehadiran baharu itu akan memberikan akses perkhidmatan dan kepakaran kami secara terus kepada pesakit China.

 

"Selain itu, pejabat Shanghai akan menyediakan platform bagi Kumpulan mempromosikan perkhidmatan kesuburan lanjutannya kepada penduduk China. 

 

"Ini termasuk Ujian Genetik Praimplantasi untuk Aneuploidies (PGTA), teknik pemeriksaan embrio untuk keabnormalan kromosom yang kini tidak tersedia di China," ujar Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini. 

 

 

hhh
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo

 

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, pemasaran di China menawarkan peluang pertumbuhan didorong oleh permintaan perkhidmatan rawatan reproduktif yang semakin meningkat. 

 

"Pejabat baharu ini menyasar untuk meningkatkan pengalaman pesakit, mengurangkan cabaran logistik dan kos perantara serta meneruskan misi kami untuk menjadikan rawatan kesuburan boleh diakses oleh mereka yang memerlukan, di mana sahaja mereka berada," katanya. 

 

Selain daripada pejabat baharunya di China, Alpha IVF telah membentuk usaha sama strategik dengan penubuhan Alpha IVF (Manila) Incorporated di Filipina. 

 

Sementara tu, pejabat Shanghai mempunyai kapasiti untuk merekrut lebih 150 prosedur pengambilan telur setiap tahun bagi meningkatkan bilangan pesakit China yang mendapatkan rawatan di Malaysia dan mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan. - DagangNews.com