AmanahRaya REIT ambil alih aset strategik pendidikan swasta di Glenmarie pada harga RM31.4 juta | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT ambil alih aset strategik pendidikan swasta di Glenmarie pada harga RM31.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) mengumumkan pembelian aset pendidikan swasta pada harga RM31.4 juta di Glenmarie, Shah Alam.

 

Pembelian itu, yang dibuat melalui pemegang amanahnya, Pacific Trustees Berhad, merupakan langkah strategik bagi meningkatkan portfolio AmanahRaya REIT sebagai pelopor REIT dalam sektor pendidikan.
 

Katanya, pembelian itu termasuk pembaharuan perjanjian penyewaan sedia ada dengan Tinta Pendidikan Sdn. Bhd. (TPSB), mendapatkan sewaan 15 tahun atas asas sewaan bersih.

 

"Pengaturan ini dijangka memberikan AmanahRaya REIT aliran pendapatan yang stabil dengan nilai pulangan bersih 6% disokong oleh semakan sewa dua angka yang telah dipersetujui setiap tiga tahun. 

 

"Lokasi utama hartanah di kawasan komersial dan industri ringan yang berdaya saing di Glenmarie, dengan jaringan lebuh raya utama dan berdekatan dengan Stesen LRT Glenmarie, meningkatkan lagi nilainya dalam portfolionya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

amanah raya
Tunku Rozita Tunku Abdul Malek (dua dari kiri) bersama Pengarah Pacific Trustee, George Cheah (kiri) dan Pengarah Stuttgart Holdings Sdn Bhd (kanan) bersama barisan kepimpinan AmanahRaya REIT dan Stuttgart memeterai perjanjian pembelian aset pendidikan bernilai RM31.4 juta dalam satu majlis di ibu negara, pada 29 Ogos 2024. 

 

Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM), Tunku Rozita Tunku Abdul Malek selaku pengurus amanah berkata, pihaknya  teruja menambah harta pendidikan swasta ke dalam portfolio mereka.

 

Beliau berkata, lokasi strategik dan sewaan jangka panjangnya dengan TBPS sejajar dengan strategi mendapatkan pendapatan yang stabil dan berulang untuk pemegang unit. 

 

"Ini adalah pemerolehan pertama kami dalam 6 tahun sejak 2018. Kami yakin pelaburan ini akan mengukuhkan pendapatan kami dan memberi kesan positif kepada prestasi kewangan kami dari semasa ke semasa," katanya. 

 

Pembelian itu akan dibiayai menerusi pembiayaan bank sedia ada AmanahRaya REIT dan dana yang dijana secara dalaman, dijangka selesai pada suku pertama 2025. 

 

Pengurus memberi jaminan bahawa urus niaga itu tidak akan menjejaskan jumlah unit dalam terbitan atau pegangan pemegang unit yang besar daripada Amanah, dengan harga belian dibayar sepenuhnya secara tunai. 

 

Setelah siap, hartanah itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan AmanahRaya REIT dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.- DagangNews.com