AmBank rugi RM3.8 bilion, salah satunya disebabkan 1MDB | DagangNews Skip to main content

AmBank rugi RM3.8 bilion, salah satunya disebabkan 1MDB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Institusi perbankan, AMMB Holdings Berhad (AmBank) mencatatkan kerugian bersih mencecah RM3,826.5 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac lalu. 

 

Ini disebabkan oleh pembayaran dan caj Item luar biasa dicatatkan pada suku keempat FY21 (4QFY21) sebanyak RM4,767.0 juta, di mana sebahagian besarnya untuk menyelesaikan tuntutan RM2.83 biliion melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, FY21 merupakan tahun kewangan mencabar buat kumpulan itu.

 

“Kami berjaya mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh sebanyak 7.7% kepada RM4,552.5 juta dan keuntungan sebelum peruntukan (PBP) sebanyak 14.2% kepada RM2,420.2 juta, menggambarkan kekuatan francais kami yang berpelbagai dan strategi pengurusan kos yang berkesan. 

 

“Dengan latar belakang ekonomi yang mencabar, prestasi kewangan kami terjejas akibat item luar biasa sekali bayar berjumlah RM4,767.0 juta dan caj rosot nilai lebih tinggi berjumlah RM1,136.7 juta susulan kesan COVID-19 yang masih ada ke atas ekonomi. 

 

“Keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATMI), tidak termasuk item luar biasa dan perbelanjaan undang-undang serta profesional yang berkaitan, yang berjumlah RM961.6 juta adalah 28.3% lebih rendah dari tahun ke tahun (y-o-y) akibat peningkatan peruntukan lapis telus,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di sebalik prestasi berkenaan, kumpulan bagaimanapun menyaksikan pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 5.8% y-o-y kepada RM2,935.4 juta.

 

Namun, margin faedah bersih (NIM) menguncup 3 mata asas (bps) kepada 1.91% berbanding tahun lalu, impak daripada pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 125 bps pada tahun 2020. 

 

Sementara itu, pemberian pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan melonjak 7.0% y-o-y kepada RM114.8 bilion dipacu oleh pertumbuhan dalam perbankan runcit dan perniagaan yang sekali gus mendahului pertumbuhan industri sebanyak 3.0%. 

 

Dari segi prospek, AmBank percaya ekonomi akan memulih pada tahun ini, namun berbeza mengikut sektor. 

 

AmBank menerusi maklumannya di Bursa Malaysia berkata, ini akan bergantung kepada penambahbaikan permintaan di kedua-dua pasaran domestik dan luar negara. 

 

“Memasuki 2021, walaupun terdapat jangkaan pemulihan yang kukuh dan inflasi lebih tinggi, namun dasar monetari kekal akomodatif. OPR pada kadar 1.75% dijangka tidak berubah pada tahun 2021. 

 

“Sebarang perubahan kepada OPR akan berdasarkan data, maklumat baharu dan implikasi ke atas ekonomi dan inflasi. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melanjutkan kelonggaran Keperluan Rizab Berkanun (SPR) pada 2.00% sehingga penghujung Disember 2022 daripada 31 Mei 2021 sebelum ini,” jelas AmBank lanjut. 

 

Kumpulan itu tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku tahun terakhir. 

 

Setakat 4.24 petang, harga saham AmBank menyusut 3 sen kepada RM2.86. - DagangNews.com