AmInvest kekal saranan Beli saham CIMB, tidak jangkakan peningkatan permohonan URUS | DagangNews Skip to main content

AmInvest kekal saranan Beli saham CIMB, tidak jangkakan peningkatan permohonan URUS

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 19 Jan -  AmInvestment mengekalkan syor BELI bagi CIMB Group Holdings (CIMB) dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM6.20/saham.

 

Menurut nota penyelidikannya hari ini, pegangan saham asing bagi saham tersebut telah meningkat kepada 24.7% pada Disember 2021 berbanding paras terendah 20.3% pada Mei 2021. 

 

"Kami mengubah suai pendapatan FY22 kami sebanyak -0.7% selepas memperhalusi andaian margin pendapatan bersih (NIM) kami.

 

"Kami memahami bahawa permohonan untuk URUS telah meningkat sejak November 2021. Walau bagaimanapun, jumlah peminjam yang telah memohon URUS pada asas nilai mutlak setakat ini adalah tidak signifikan iaitu di bawah 1.0% daripada jumlah pinjaman pengguna Malaysia," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah AmInvestment, pengurusan CIMB menjangkakan kemungkinan peningkatan dalam permohonan untuk URUS menjelang tarikh akhir 31 Januari ini. 

 

"Namun begitu, kami tidak menjangkakan peningkatan mendadak dalam permohonan untuk URUS. 

 

"Ini berikutan kriteria kelayakan yang lebih ketat ke atas peminjam. 

 

"Rekod CCRIS peminjam akan menunjukkan bahawa pinjaman mereka berada di bawah URUS sekiranya mereka memilih program bantuan pembayaran balik," katanya. 

 

Tambahnya, pengurusan CIMB membayangkan kenaikan kadar 25bps untuk Malaysia, Indonesia dan Thailand pada 2H22. 

 

Ujarnya, lazimnya, kenaikan kadar OPR 25bps akan diterjemahkan kepada pengembangan NIM sebanyak 2bps dan tambahan pendapatan faedah RM80–100 juta untuk FY penuh.  -DagangNews.com