AmInvest percaya inisiatif Pentamaster akan tingkatkan kecekapan syarikat pada masa akan datang | DagangNews Skip to main content

AmInvest percaya inisiatif Pentamaster akan tingkatkan kecekapan syarikat pada masa akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - AmInvest Research yakin inisitaif yang dilakukan Pentamaster Corporation (Pentamaster) termasuk meluaskan pangkalan vendor akan meningkatkan kecekapan mereka dalam menyempurnakan sesebuah projek dan menghasilkan keuntungan pada julat yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelbagai inisiatif sudah dilakukan Pentamaster sebelum ini termasuk penyatuan stok serta tempoh dagangan lebih lama daripada pelanggan sehingga setahun dalam usaha mengurangkan kekangan rantaian bekalan.

 

Bagaimanapun, syarikat itu terdedah kepada beberapa risiko termasuk kemunculan varian baharu COVID-19 dan keberkesanan vaksin serta penurunan julat keuntungan akibat kos yang tinggi.

 

"Terdapat beberapa perkara positif yang akan menyumbang kepada kecekapan syarikat termasuk kepelbagaian portfolio perniagaan yang menyumbang kepada pengembangan pelanggan, peningkatan penggunaan penyelesaian automasi kilang (FAS) hasil penerapan Industri 4.0 selain kedudukan kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) seperti Jepun.

 

"Sebagai tambahan, pengembangan awal kumpulan dalam segmen automotif dengan keupayaan penyelesaian ujian meliputi peranti kuasa silikon karbida (SiC) dan galium nitrit (GaN) dilihat akan memberi manfaat kepada pembangunan EV yang akan menjadi antara kekuatan mereka pada 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvest juga percaya, jualan dalam sektor teknologi yang dilakukan Pentamaster baru-baru ini memberi peluang kepada pelabur untuk mendapatkan saham mereka pada harga rendah dan dana berkenaan cenderung digunakan untuk kitaran pemulihan. 

 

Selain itu, Pentamaster juga membeli sebuah lot tanah di Batu Kawan pada November 2021 dalam usaha meningkatkan kemampuan mereka dalam bidang kejuruteraan serta pembuatan terutama dalam bidang FAS serta penerokaan dalam segmen perubatan yang semakin berkembang.

 

"Kami menjangkakan segmen perubatan akan menyumbang sebanyak 10% kepada pendapatan pada tahun kewangan 2022 (FY22F) selepas mereka mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menaik taraf saranan mereka terhadap Pentamaster kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan nilai tidak berubah pada RM5.62 sesaham dan mereka juga percaya pelabur akan mengambil peluang untuk mendapatkan saham berkenaan pada harga semasa bagi tujuan pengumpulan saham. - DagangNews.com