AmInvest positif terhadap projek tenaga hidro TNB di Kelantan, kekalkan saranan ‘beli’ | DagangNews Skip to main content

AmInvest positif terhadap projek tenaga hidro TNB di Kelantan, kekalkan saranan ‘beli’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Firma penyelidikan, AmInvestment Bank positif terhadap projek pembinaan loji janakuasa hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

 

Jelas penganalisisnya, Gan Huey Ling, projek itu dijangka meningkatkan portfolio aset tenaga yang boleh diperbaharui TNB kepada 3,706W daripada 3,406MW, buat masa ini. 

 

“Objektif TNB adalah untuk mencapai portfolio aset tenaga boleh diperbaharui sebanyak 8,300MW menjelang tahun kewangan 2025 (FY25). 

 

“TNB juga merancang untuk mengurangkan kapasiti penjanaan batu arang sebanyak 50% menjelang FY35 dan bebas batu arang menjelang FY50.

 

“Kami menjangkakan janakuasa hidroelektrik di Nenggiri ini tidak akan menyumbang secara signifikan kepada perolehan TNB dalam masa terdekat memandangkan loji itu mungkin mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Dalam pada masa sama, saiz loji janakuasa itu juga kecil pada kapasiti 300MW,” jelas Huey Ling dalam satu nota kajiannya, hari ini.

 

Semalam, TNB memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) menerima surat notis dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi membangunkan loji janakuasa hidroelektrik di Nenggiri. 

 

Projek itu dijangka meningkatkan jaminan tenaga kepada negara dan memberi impak positif dari segi sosioekonomi kepada Malaysia, Kelantan dan juga penduduk setempat.  

 

Baca : TNB terima surat notis bangunkan projek jana kuasa hidro di Kelantan

 

Surat notis itu memerlukan TNB Genco memenuhi beberapa syarat sebelum memulakan projek berkenaan. 

 

Setakat penghujung FY20, Huey Ling berkata, kapasiti penjanaan tenaga TNB berkapasiti 13,857MW. 

 

Pada FY20, tenaga hidro menyumbang 3.8% campuran penjanaan di Semenanjung Malaysia sementara tenaga solar menyumbang 0.7%, katanya lanjut.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas TNB dengan nilai wajaran pada kadar RM12.10 sesaham,” ujar Huey Ling. - DagangNews.com