KUALA LUMPUR 8 April - AmInvestment Bank Research menjangkakan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) pada 1 Januari 2023 akan mendorong kepada penurunan keuntungan selepas cukai Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad antara 15% hingga 20% untuk FY23 berbanding FY22.
Firma penyelidikan itu berkata, MFRS 17 dijangka merendahkan pendapatan terkumpul antara 30% hingga 45% dan ia adalah lebih tinggi berbanding unjuran penurunan sebanyak 20% hingga 30%, kesan daripada sumbangan tambahan polisi baharu yang ditaja jamin oleh kumpulan dalam tempoh 2 tahun lepas.
"Meksipun berdepan impak kepada keuntungan selepas cukai dan pemegang saham, kami menjagkakan sasaran pulangan ekuiti (ROE) akan meningkat lebih pantas pada kadar 22% pada FY23F berbanding 20.4% pada FY22F.
"Nisbah pembayaran dividen juga dijangka meningkat kepada 26.2% daripada 25.8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk mempelbagaikan perniagaan secara perlahan-lahan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang berbanding pergantungan terhadap satu sumber sahaja
Kumpulan itu meyasarkan lebih banyak sumbangan daripada pelanggan runcit dan akan dilaksanakan dengan memanfaatkan saluran digital untuk menjual produk pelrindungan atau insurans nyawa yang mampu milik.
"Jualan digital daripada pelbagai e-saluran menyumbang sebanyak 7% daripada jualan keseluruhan untuk perniagaan takaful umum mereka.
"Bermula FY22F, bayaran wakalah atau pembayaran lain yang diterima pemegang saham berkaitan dana takaful keluarga akan dikenakan cukai sebanyak 24% sama seperti takaful umum," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Syarikat Takaful Malaysia Keluarga pada harga sasaran (TP) lebih rendah RM4.15 berbanding RM4.85 selepas mengambil kira fator cukai 24% yang dikenakan terhadap dana takaful keluarga. - DagangNews.com