AmInvest unjur peningkatan 30% untuk perlindungan banjir bagi pemegang polisi insurans kenderaan LPI Capital | DagangNews Skip to main content

AmInvest unjur peningkatan 30% untuk perlindungan banjir bagi pemegang polisi insurans kenderaan LPI Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - AmInvest Research menjangkakan berlaku peningkatan sebanyak 30% terhadap permintaan perlindungan tambahan untuk banjir bagi pemegang polisi insurans kenderaan di LPI Capital Berhad.

 

Perkara itu berlaku selepas, pelanggan kumpulan itu mengambil kira bencana yang berlaku pada Disember 2021 dan tindakan itu adalah sebagai perlindungan tambahan sekiranya bencana itu berulang kembali.

 

"Kira-kira 80% daripada insurans kenderaan kumpulan itu terdiri daripada polisi komprehensif  dan kurang daripada 20% daripada jumlah keselurhan memiliki pelan perlindungan banjir.

 

"Bencana yang melanda negara sebelum ini telah mendorong kepada peningkatan polisi insurans konprehensif dan perlindungan banjir sebanyak 30%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada 4Q21 kumpulan itu menerima lebih daripada 1,300 tuntutan akibat banjir dan jumlah itu meningkat kepada 4,125 kes pada pertengahan Mac 2022 merangkumi banjir di kawasan perumahan, komersial dan industri.

 

"Tuntutan itu kebanyakannya hadir daripada polisi insurans kebakaran kumpulan manakala tuntutan banjir untuk polisi kenderaan melibatkan 20 kes sahaja," katanya.

 

Pada 4Q21 berlaku peningkatan nisbah tuntutan untuk semua kelas insurans dengan tuntutan insurans kenderaan serta perubatan menjadi normal selepas ketiadaan sekatan pergerakan selain pembukaan semula sempadan.

 

Nisbah tuntutan bagi insurans kebakaran juga dilihat meningkat dengan FY22 menunjukkan nisbah tuntutan sebanyak 42.2% berbanding 36.5% pada FY21 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 68.4%.

 

"Kos perlindungan semula untuk tuntutan banjir akan meningkat kepada RM10 juta dengan RM4 juta sudah diperuntukkan untuk FY21 dan RM6 juta akan digunakan pada FY22," katanya.

 

Firma penyelidikan itu,  mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham LPI Capital dengan menyemak naik harga sasaran (TP) kepada RM14.40 berbanding RM14.20 selepas mengambil kira penilaian untuk FY23 yang disokong oleh sasaran pulangan ekuiti (ROE) sebanyak 15.3%. - DagangNews.com