AmInvestment beri penilaian premium ke atas saham Bank Islam pada RM3.80 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment beri penilaian premium ke atas saham Bank Islam pada RM3.80

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - AmInvestment Bank Research menilai Bank Islam Malaysia Bhd. pada RM3.80 sesaham berdasarkan 11.5% pulangan ekuiti (ROE) bagi tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Malah, ia juga mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Bank Islam.

 

Ini adalah berbeza berbanding penilaian awal BIMB Holdings pada RM4.80 sesaham berdasarkan SOP yang telah mencatatkan ROE 24.8% bagi FY22 untuk Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. (Takaful Malaysia).

 

"Penilaian ini sebenarnya adalah sedikit premium selepas membuat pertimbangan bahawa Bank Islam merupakan satu-satunya institusi perbankan Islam lengkap yang disenaraikan di Bursa Malaysia," menurut penganalisis AmInvestment, Kelvin Ong dalam nota kajian hari ini.

 

Bank Islam pada 8 Oktober lalu, mengambil alih status penyenaraian BIMB daripada Pasaran Utama Bursa Securities setelah menyelesaikan proses penstrukturan kumpulan.

 

Pada masa sama, BIMB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan bank mengambil peranan sebagai syarikat induk. 

 

Menerusi langkah ini, ia menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali Takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh.

 


Baca : Bank Islam kini institusi perbankan Islam tulen, lengkap disenaraikan di Bursa Malaysia

 

 

Menurut Ong, dengan melengkapkan langkah penstrukturan korporat ini, kos kewangannya menjadi lebih rendah pada masa hadapan apabila sukuk murabahah BIMB ditebus sepenuhnya.

 

Sebanyak RM1.05 bilion dalam nilai nominal sukuk murabahah bersamaan dengan jumlah penebusan RM988.4 juta telah diselesaikan sepenuhnya melalui hasil daripada penempatan persendirian sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula.

 

"Kami menganggarkan kos kewangan akan berkurangan daripada sekitar RM140 juta setahun di bawah BIMB kepada RM88 juta di bawah Bank Islam.

 

"Ini berdasarkan kepada baki terkumpul hanya RM1.71 bilion dalam sukuk subordinat murahabah bagi kunci kira-kira Bank Islam," jelasnya.

 

Namun begitu, kelebihan daripada kos kewangan yang lebih rendah akan diimbangi dengan penyingkiran pendapatan yang diiktiraf daripada Takaful Malaysia. Lazimnya, ROE daripada Takaful Malaysia melebihi 20% setahun. 

 

Setakat suku kedua 2021, kualiti aset Bank Islam kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pada 0.72% berbanding industri perbankan, 1.62%. 

 

Sementara itu, nisbah liputan kerugian pembiayaan berada pada paras yang sihat iaitu 235.5% berbanding industri, 111.8%.

 

"Bagi tahun kewangan 2021/2022/2023, kami mengambil kira kos kredit sebanyak 0.3%/0.2%/0.2% dalam anggaran pendapatan kami untuk Bank Islam. 

 

"Ini membawa kepada anggaran ROE sebanyak 10.7%/11.5%/12.5% bagi tahun kewangan 2021/2022/2023," tambahnya.

 

Menurutnya, dengan hasil dividen menarik pada 5.9% bagi tahun kewangan 2022, ia akan menyokong harga saham Bank Islam, berdasarkan kepada nisbah pembayaran 50%.

 

"Kecairan saham akan bertambah baik selepas langkah penstrukturan korporat ini. Malah, ia turut menyaksikan Lembaga Tabung Haji mengurangkan pegangan kepada 48.03% berbanding 53.1% sebelum sebelum pelaksanaan penempatan persendirian untuk melaksanakan langkah korporat ini," katanya. - DagangNews.com