AmInvestment jangka langkah lindung nilai Lee Swee Kiat kurangkan kesan kenaikan harga bahan mentah pada 2024 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka langkah lindung nilai Lee Swee Kiat kurangkan kesan kenaikan harga bahan mentah pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - AmInvestment Bank Research menjangkakan langkah lindung nilai yang dilaksanakan Lee Swee Kiat Group Bhd sejak akhir tahun lalu akan membantu kumpulan itu mengurangkan kesan kenaikan harga bahan mentah pada tahun ini.

 

Katanya, langkah itu secara keseluruhannya akan memberi kesan minimum kepada margin bersih kumpulan itu pada 1QFY24.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan bagi FY24 hingga FY26 kerana menjangkakan harga lateks akan memuncak pada Mei 2024 selaras dengan pengakhiran musim sejuk.

 

"Purata harga lateks pada suku pertama 2024 melonjak 24% berbanding suku keempat 2023 kesan daripada peningkatan permintaan daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) China selain gangguan laluan perkapalan, khususnya di Laut Merah.

 

"Hujan lebat di Thailand juga memberi kesan kepada aktiviti penuaian hasil getah asli pada Disember 2023 menyebabkan pengilang tidak dapat membeli invesntori yang mencukupi semasa musim pengeluaran puncak," katanya dalam satu nota kajian.

 

AmInvestment menyukai kumpulan itu disebabkan beberapa faktor termasuk menjadi pengeluar tilam lateks semula jadi terbesar di Malaysia selain pengembangan berterusan dalam pasaran tilam beberanding pesaingnya.

 

Katanya, keadaan itu juga disokong oleh pemulihan pasaran eksport dan pengenalan tilam Siri A berharga rendah yang mungkin mendapat manfaat daripada permintaan produk mampu milik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.39 sesaham," katanya. - DagangNews.com