AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster Corporation, FV RM4.64 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster Corporation, FV RM4.64

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pentamaster Corporation Berhad dengan nilai wajar (FV) RM4.64 sesaham.

 

Firma itu berkata, tempahan kumpulan kekal pada RM500 juta pada akhir 1HFY22, yang diterjemahkan kepada nisbah sebanyak 2x dan 70% daripadanya telah dijamin oleh bahagian peralatan ujian automatik (ATE) manakala baki 30% adalah daripada penyelesaian automatik kilang (FAS).

 

Katanya, mengikut industri, 40% daripada tempahan itu disumbangkan oleh segmen automotif.

 

"Elektro-optik, yang membentuk 27% daripada hasil 1HFY22 kumpulan, menguncup 41% dari tahun ke tahun, ia disebabkan oleh kekurangan peningkatan besar dalam pembangunan penderia telefon pintar.

 

"Kami mengekalkan andaian pertumbuhan mendatar untuk FY22–FY24 agi pasaran telefon pintar yang perlahan di seluruh dunia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan pentadbiran kumpulan meningkat kepada 10% daripada hasil semasa 1HFY22, berbanding 9% pada 1HFY21.

 

Katanya, ia disebabkan oleh lindung nilai tukaran asing yang tidak sempurna kerana kerugian nilai saksama sebanyak RM12 juta pada kontrak hadapan tukaran asing telah diimbangi sebahagiannya oleh keuntungan yang tidak direalisasi sebanyak RM7 juta.

 

Firma itu berkata, selepas mengambil kira ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-China-Taiwan, strategi kumpulan itu adalah untuk menubuhkan pejabat serantau untuk mengurangkan risiko perniagaan.

 

"Berikutan pemerolehan 30% Everready Precision Industrial Corp (EPIC) untuk AS$6.8 juta (RM30.25 juta) bulan lepas, kumpulan itu telah mengembangkan perniagaan elektro-optiknya di Taiwan, yang menyumbang 2.5% daripada hasil 1HFY22 kumpulan itu," katanya.

 

Firma itu berkata, pihaknya terus menggemari kumpulan itu kerana memiliki strategi meneruskan momentum global untuk elektrifikasi automotif. - DagangNews.com