AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster, FV RM4.03 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster, FV RM4.03

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' pada Pentamaster Corp harga wajar tidak berubah RM4.03 sesaham.

 

Firma itu juga mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu berikutan langkah kumpulan itu melanggan 29.9% daripada pegangan ekuiti Everready Precision Industrial Corp (EPIC) yang diperbesarkan dengan jumlah pertimbangan sebanyak AS$6.8 juta (RM30.04 juta).

 

Katanya, EPIC pada dasarnya beroperasi di Taiwan dan terlibat dalam operasi elektrooptik dengan Pentamaster mempunyai pendedahan hasil sebanyak 30% berdasarkan keputusan 1QFY22.

 

"EPIC merupakan dalam mereka bentuk dan mengeluarkan penyelesaian dan komponen penyepaduan optik seperti acuan dan kanta ketepatan optik termaju.

 

"Cadangan langganan dijangka meningkatkan kehadiran Pentamaster di China dan pada masa sama menyepadukan segmen elektrooptiknya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

EPIC mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM3.8 juta pada FY21. 

 

Memandangkan pegangan Pentamaster sebanyak 30%, ia menjadikan kumpulan itu mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 1.6%  kepada RM73 juta pada FY21.

 

Pasaran optoelektronik dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 10.3% kepada AS$9.8 bilion (RM43.30 bilion) menjelang 2026.

 

"Walaupun penggunaan dan permintaan melibatkan pasaran pengguna yang luas, kami tetap berhati-hati dengan persaingan yang semakin meningkat dalam segmen optoelektronik," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu kekal positif terhadap prospek masa hadapan Pentamaster dalam segmen automotif disokong oleh kepelbagaian portfolio dan peluasan pengkalan pelanggan.

 

Selain itu ia turut disokong, perkembangan penyelesaian automasi kilang selain penggunaan industri 4.0 (IR 4.0) serta pelbagai penawaran dalam segmen automotif dan keupayaan syarikat dalam menawarkan penyelesaian kepada pelanggan. - DagangNews.com