AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk dana MYETFDJ dengan FV lebih rendah | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk dana MYETFDJ dengan FV lebih rendah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - AmInvestment Bank Berhad mengekalkan saranan 'beli' untuk dana MYETF DJ Islamic 25 (MYETFDJ) dengan nilai wajar (FV) lebih rendah RM1.15 berbanding RM1.21.

 

Firma itu berkata, pengurangan nilai wajar itu berpunca daripada penurunan 47% dalam FV Hartalega kepada RM2.46; penurunan 10% dalam FV Petronas Chemicals kepada RM10.13; penurunan 11% dalam FV Press Metal Aluminium kepada RM6.26; 17% jatuh dalam FV Sime Darby Plantation kepada RM3.65 dan pengurangan 12% dalam FV konsensus IOI Corp kepada RM3.55.

 

Firma itu berkata, dana dagangan bursa (ETF) menyusut sebanyak 20% pada 1HFY22 atau RM21.4 juta akibat kerugian sebanyak 23% dalam nilai saksama kepada RM23.4 juta.

 

"Perbelanjaan bagi 1HFY22 juga menurun sebanyak 30% kepada RM444,000 akibat penyusutan sebanyak 32% dalam yuran pengurusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun berlaku pelarasan penilaian saranan 'overweight' kekal terhadap sektor minyak dan gas yang menyumbang kepada wajaran terbesar sebanyak 26% daripada nilai aset bersih ETF.

 

Firma itu menyukai saham konstituen seperti Petronas Chemicals Group, Petronas Gas dan Dialog Group.

 

"Sektor teknologi yang menyumbang 8% daripada nilai aset berish, terus menikmati pertumbuhan permintaan semikonduktor global yang teguh walaupun terdapat gangguan rantaian bekalan daripada konflik Rusia-Ukraine dan dasar ketat sifar COVID-19 di China.

 

"Oleh itu, kami terus memihak kepada Inari Amertron dan Malaysian Pacific Industries.

 

Firma itu kekal 'neutral' terhadap sektor sarung tangan yang kini menyumbang 3% daripada nilai aset bersih dengan purata harga jualan semakin menurun kesan daripada tekanan inflasi.

 

"Prospek kami untuk ETF terjejas sebahagiannya akibat penarafan 'underweight' bagi sektor perladangan yang kini menyumbang 17% daripada nilai aset bersih ETF, berdasarkan jangkaan harga minyak sawit mentah yang lebih rendah pada 2HFY22," katanya. - DagangNews.com