Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - AmInvestment Bank Research (AmInvest Research) mengekalkan saranan 'Kekal' pada TSH Resources dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM1.20/saham.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu berkata, TSH dijangka mempunyai aliran tunai selepas siapnya cadangan pelupusan 13,215 hektar tanah di Kalimantan Timur kepada PT Kalimantan Industrial Park pada harga RM679.0 juta.
"Kami jangkakan pelupusan tersebut akan dimuktamadkan pada tahun kewangan 2022 (FY22)," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah AmInvest Research, Ladang kelapa sawit TSH di Tawau dan Kalimantan tidak terjejas oleh cuaca setakat ini.
Katanya, pekerja ladang masih mampu meraih tandan buah segar (FFB) daripada pokok kelapa sawit pada masa ini.
"Walaupun begitu, kami menjangkakan pengeluaran FFB TSH akan menyusut sedikit pada 4QFY21 disebabkan faktor bermusim.
"Kami percaya bahawa pengeluaran FFB Kumpulan TSH telah mencapai kemuncaknya pada Jun 2021," katanya,
Firma penganalisis itu turut meramalkan pertumbuhan pengeluaran FFB TSH sebanyak 7.0% pada FY21 dan pada FY22F.
"Peningkatan dalam pengeluaran FY21 TSH dijangka didorong oleh pemulihan dalam hasil FFB di Indonesia selepas terjejas oleh kesan kemarau pada FY20," katanya.
"Kami percaya bahawa peningkatan 7.0% dalam pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada FY22 tidak akan mencukupi untuk mengimbangi kenaikan kos pengeluaran," katanya. -DagangNews.com