AmInvestment kekal saranan 'overweight' terhadap sektor automotif berdasarkan jangkaan jualan stabil | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'overweight' terhadap sektor automotif berdasarkan jangkaan jualan stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor automotif berdasarkan jangkaan jualan kereta stabil sepanjang tempoh dua suku tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, saranan itu didorong oleh pesanana tertunggak yang kukuh selain trend tempahan yang sihat, pelancaran model baharu selain perubahan rekaan luar model kereta baharu di dalam pasaran.

 

"Antara model baharu ialah Honda City dan Toyota Corolla GR Sport bersama-sama model yang dikemas kini dijangka menyokong jumlah jualan dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Selain itu,ia juga disokong oleh guna tenaga yang stabil dan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 hingga 2024 yang kukuh sebanyak 4% hingga 4.5%, yang akan terus menyokong perbelanjaan domestik yang berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meningkat 12.7% dari bulan ke bulan kepada 71,745 unit apabila jumlah jualan kereta penumpang meningkat sebanyak 12% kepada 64,633 unit manakala segmen komersial meningkat 24% kepada 7,112 unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan itu disebabkan oleh kempen promosi Hari Kebangsaan dan ekosistem rantaian bekalan automotif yang lebih baik.

 

Katanya, pada asas tahun ke tahun, TIV meningkat 6.2%, terutamanya disokong oleh pertumbuhan Mazda (+37%), Perodua (+20%) dan Toyota/Lexus (+13%).

 

"Bagaimanapun sebahagian besar jumlah itu terkesan akibat jualan Nissan/Renault yang menjunam sebanyak 26% dari tahun ke tahun.

 

"Prestasi sektor yang kukuh pada bulan Ogos menghasilkan jualan tahun sehingga kini (YTD) TIV sebanyak 498,842 (+11%), yang berada di landasan untuk mencapai sasaran TIV 2023F kami sebanyak 650,000 unit," katanya.

 

AmInvestment berkata, pilihan utama mereka ialah Bermaz Auto (beli, FV:RM3.10 sesaham) dan MBM Resources (beli, FV:RM5.22 sesaham) disokong  pesanan tertunggak yang banyak, rancangan pelancaran model baharu dan peningkatan kepada model kereta semasa.- DagangNews.com