GHL jalin kerjasama strategik dengan JCB membolehkan penerimaan kad di terminal pedagang Malaysia, Thailand dan Filipina | DagangNews Skip to main content

GHL jalin kerjasama strategik dengan JCB membolehkan penerimaan kad di terminal pedagang Malaysia, Thailand dan Filipina

Oleh Shamsiah Zulkafli

TOKYO/KUALA LUMPUR 21 Okt - GHL Systems Berhad (GHL) dan JCB International Co., Ltd., anak syarikat operasi antarabangsa JCB Co., Ltd., jenama pembayaran antarabangsa terkemuka di Jepun, secara rasmi mengumumkan kerjasama strategik yang membolehkan penerimaan Kad JCB untuk peniaga GHL di Malaysia, Thailand dan Filipina. 

 

Kerjasama serantau itu mewakili langkah signifikan untuk kedua-dua syarikat, bertujuan memberdayakan peniaga dan pelanggan di seluruh rantau berkenaan dengan kemudahan pembayaran yang dipertingkatkan.

 

Dengan kehadiran global yang luas dan rangkaian kad JCB, kerjasama terbabit menambah dimensi baharu kepada penyelesaian pembayaran GHL di mana peniaga GHL akan dapat menerima Kad JCB dengan lancar, menawarkan pengalaman pembayaran yang mudah untuk ahli kad JCB.

 

Rangkaian peniaga GHL yang meliputi lebih 480,000 titik pembayaran di pelbagai sektor di Malaysia, Thailand dan Filipina, berpotensi meningkatkan penggunaan dan aksesibiliti Kad JCB dengan ketara. 

 

Melalui kerjasama tersebut, negara-negara terlibat dapat menikmati fleksibiliti yang lebih besar dan mengukuhkan hubungan perniagaan antara peniaga dan pelanggan.

 

Industri pelancongan dijangka kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19 menjelang akhir 2024, dengan tahap pelancongan antarabangsa dijangka melebihi angka sebelum pandemik.


 
Kebangkitan semula itu didorong terutamanya oleh pemulihan yang lebih kuat di Asia, menurut laporan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB.

 

Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GHL, Sean Hesh berkata, kerjasama itu bukan sahaja mengukuhkan dedikasi pihaknya terhadap inovasi dan penyelesaian pembayaran yang lancar, tetapi juga menonjolkan komitmen untuk mempermudah pembayaran di peringkat serantau. 

 

"Dengan GHL bersedia untuk memperluaskan pilihan pembayaran di titik jualan peniaga, perniagaan diberdayakan untuk lebih bersedia menghadapi lonjakan perbelanjaan pelancong masuk yang dijangka pada tahun 2024 dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan JCB International Asia Pasifik, Hiroko Michishita menyifatkan, langkah tersebut adalah satu pencapaian untuk pengembangan perniagaan JCB di rantau Asean, memandangkan GHL mempunyai kehadiran yang kuat serta cita-cita untuk berkembang dalam memperoleh perniagaan.

 

"Dengan memanfaatkan kerjasama ini, kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli kad kami dari seluruh dunia dengan titik penerimaan kad yang lebih baik.

 

"Selain itu, keyakinan kami terhadap kerjasama ini diperkukuhkan apabila GHL menggunakan JCB Payment Gateway yang dikuasakan oleh Soft Space," jelasnya.

 

Pelaksanaannya dijadualkan bermula di Malaysia pada suku ketiga 2024, diikuti oleh Thailand dan Filipina. - DagangNews.com