KWAP peruntukkan RM300 juta bangunkan tanah wakaf melalui Wakaf Madani bantu tingkatkan kualiti hidup pesara | DagangNews Skip to main content

KWAP peruntukkan RM300 juta bangunkan tanah wakaf melalui Wakaf Madani bantu tingkatkan kualiti hidup pesara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) memperuntukkan RM300 juta untuk membangunkan tanah wakaf, melalui Wakaf Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk membina rumah persaraan bebas, dalam usaha meningkatkan kualiti hidup pesara.

 

KWAP
 Nik Amlizan Mohamed

 

"Sebagai Rakan Persaraan Anda, kami di KWAP percaya bahawa setiap individu berhak mendapat persaraan yang bermaruah dan selamat. Inisiatif ini akan membantu pesara kami mengakses persekitaran yang selamat dan menyokong di mana mereka boleh hidup dengan selesa dan dihormati," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menyambut baik Belanjawan 2025, dengan menyatakan ia mencerminkan komitmen untuk menghidupkan kembali ekonomi, mendorong perubahan bermakna dan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi semua rakyat Malaysia.

 

Katanya, tumpuan kepada pertumbuhan inklusif dan kemajuan lestari adalah satu kenyataan kuat bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat peluang untuk berkembang.

 

"Kami juga berbesar hati untuk menyokong inisiatif GEAR-uP. Melalui Dana Pemacu kami yang berjumlah RM6 bilion, kami akan memperkukuhkan pasaran swasta domestik dengan menumpukan kepada pelaburan ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah.

 

"Pada tahun akan datang, kami akan membuat pelaburan awal sebanyak RM500 juta di bawah model kerjasama co-General Partner (co-GP), mensasarkan lapan sektor utama termasuk peralihan tenaga dan pembuatan maju," tambahnya.

 

Di bawah Dana Perintis, beliau berkata KWAP akan melabur RM1 bilion untuk memperkukuhkan syarikat pemula tempatan.

 

"Dengan memupuk syarikat pemula tempatan, kami mencipta peluang, menjana pekerjaan dan menyokong ekosistem yang berkembang yang akan menyokong pertumbuhan negara kami untuk tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com