AmInvestment kekal saranan 'pegang' untuk saham YTL Hospitality REIT, FV RM1.01 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'pegang' untuk saham YTL Hospitality REIT, FV RM1.01

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap YTL Hospitality REIT dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM1.01 sesaham.

 

Firma itu melihat peningkatan dalam kedua-dua kadar penghunian purata dan kadar harian purata sejak 2QFY22 dan kadar penghunian itu adalah pada kadar 63%, lebih rendah berbanding sebelum pra pandemik iaitu 85%.

 

"Kami optimis tetapi kekal berhati-hati dengan prestasi portfolio Australia pada suku akan datang (yang menyumbang 52% daripada jumlah hasil kasar pada FY22).

 

"Ia disebabkan peralihan daripada pendapatan sewa terjamin yang diperoleh daripada kontrak kuarantin yang dilaksanakan dengan kerajaan kepada pendapatan berasaskan pelancongan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, YTL REIT telah menangguhkan 50% daripada sewaan pajakan untuk hartanah Malaysia dan Jepunnya (kecuali The Green Leaf Niseko Village) selama 24 bulan bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2022.

 

Bayaran balik perbezaan sewa akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 7 tahun selepas 30 Jun 2022 atau sepanjang baki tempoh pajakan sedia ada, yang mana lebih awal.

 

Firma itu menjangkakan agihan setiap unit (DPU) sebanyak 8 sen seunit pada FY23F dengan normalisasi sewa pajakan untuk hartanah Malaysia dan Jepun, ditambah dengan pembayaran balik penangguhan sewa.

 

"Nisbah hutang kepada aset kekal pada paras 42%, di bawah ambang 60% berkanun yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC)," katanya. - DagangNews.com