KUALA LUMPUR 7 Sept - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Deleum Bhd. dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi pada RM1.02 daripada 90 sen sesaham sebelum ini.
Sejajar dengan semakan semula FV itu, ia menaikkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 10 hingga 17% berikutan anggaran margin keuntungan yang lebih tinggi.
Menurut firma itu, kumpulan kekal optimis dengan prospek jangka panjangnya memandangkan keperluan untuk penyelenggaraan berkala bagi memastikan prestasi cekap turbin gas meskipun jualan bagi segmen tenaga dan jentera (P&M) susut 15% kepada RM110 juta pada separuh pertama 2022.
Katanya, turbin gas yang beroperasi di Malaysia dianggarkan sekitar 250 hingga 300 unit, mencerminkan permintaan kukuh untuk perkhidmatan penyelenggaraan berulang bagi turbin tersebut.
"Walaupun nilai kontrak dan tender segmen P&M kebanyakannya terdiri daripada kerja penyelenggaraan jangka pendek, Deleum sedang berbincang dengan pelanggan untuk mendapatkan perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan tempoh kontrak sekurang-kurangnya dua tahun yang akan meningkatkan pendapatannya dengan ketara," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat akhir suku kedua, nilai kontrak dalam tangan adalah stabil berjumlah RM355 juta manakala dalam tender pula sebanyak RM507 juta.
Dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana, menurut AmInvestment, Deleum menjangkakan peningkatan aktiviti minyak dan gas (O&G) di samping perbelanjaan pelaburan yang lebih tinggi daripada Petronas yang akan memacu penambahan kontraknya.
Firma itu berkata, operasi slickline kumpulan menyumbang 26% daripada hasil pada separuh pertama 2022, kekal sibuk dengan kadar penggunaan yang membanggakan melebihi 80%, menyokong pertumbuhan hasil yang kukuh serta pemulihan bahagian perkhidmatan medan minyak pada suku kedua.
Katanya, memandangkan tahap aktiviti yang meningkat di sebalik harga minyak lebih tinggi, Deleum sedang meneroka peluang secara berhati-hati untuk mengukuhkan lagi peneraju pasarannya dalam subsektor slickline.
"Bagi mempermudahkan pelan pengembangan, kami dapati Deleum merancang untuk membelanjakan sejumlah besar perbelanjaan modal (capex) untuk membeli peralatan baharu serta menaik taraf aset yang telah usang," jelasnya.
Secara dasarnya, Deleum memiliki lebih daripada 50 unit peralatan slickline dan dikenali sebagai penyedia perkhidmatan terbesar dalam subsektor slickline Malaysia dengan lebih daripada 50% bahagian pasaran.
Sementara itu, AmInvestment berkata, bagi bahagian penyelesaian hakisan bersepadu, yang terjejas oleh penggantungan lesen Petronas untuk menyertai tender sejak Mac 2021, kumpulan mengesahkan bahawa semua inisiatif yang diperlukan telah dilaksanakan dan yakin akan menerima maklum balas positif daripada Petronas pada suku akan datang.
Setakat ini, kedudukan baki tunai Deleum sebanyak RM188 juta pada suku kedua sudah mewakili 58% daripada pasaran modal semasa kumpulan.
"Berdasarakan trajektori hasil kumpulan, kami menganggarkan kedudukan baki tunai akan hampir menyaingi had pasaran semasanya menjelang akhir FY24," katanya.
Setakat 12.30 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 1.85% kepada 79.5 sen dengan 1.09 juta saham diniagakan. - DagangNews.com