AmInvestment naikkan unjuran harga minyak mentah Brent sehingga AS$110 setong tahun ini | DagangNews Skip to main content

AmInvestment naikkan unjuran harga minyak mentah Brent sehingga AS$110 setong tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Mac - AmInvestment Bank Research menaikkan unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$100 hingga AS$110 setong bagi 2022 memandangkan ketika ini komoditi tersebut kekal melebihi AS$100 setong ekoran ketidaktentuan konflik Rusia-Ukraine.

 

Firma itu juga menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi pada tahun hadapan sekitar AS$90 hingga AS$100 setong.

 

Anggaran itu adalah lebih tinggi berbanding Prospek Tenaga Jangka Pendek EIA yang baru-baru ini menaikkan purata unjuran kepada AS$105 setong bagi 2022 manakala AS$89 setong bagi 2022, menurut penganalisisnya, Alex Goh dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau berkata, harga minyak mentah akan terus meningkat ekoran kesan daripada situasi geopolitik yang tidak menentu daripada pencerobohan Rusia di Ukraine yang ketika ini berlegar pada purata AS$97 setong dan kekal melebihi paras AS$100 di sebalik mengalami pembetulan harga baru-baru ini.

 

Ini kerana katanya, konflik itu telah mencetuskan sekatan berperingkat, mengelak pelaburan secara sukarela oleh syarikat minyak antarabangsa, gangguan rantaian bekalan global yang substantif dan premium risiko yang tinggi untuk komoditi. 

 

"Selain sekatan korporat secara sukarela ke atas Rusia, risiko kekurangan bekalan semakin meningkat dengan negara pengeksport minyak utama, tidak dapat meningkatkan pengeluaran ke tahap sebelum pandemik disebabkan kekurangan pelaburan yang kronik sejak 5 tahun lalu di tengah-tengah prerogatif yang didorong peralihan tenaga berterusan oleh pelabur.

 

"Bagaimanapun, harga minyak akan kembali perlahan pada tahun hadapan disebabkan jangkaan berlakunya stagflasi yang boleh menjejaskan permintaan global di samping mendorong pelaburan baharu dalam sektor itu dan menghidupkan semula jangkaan pengeluaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Inventori Amerika Syarikat (AS) susut 17% daripada paras tinggi setakat ini sebanyak 502 juta tong setakat 26 Mac 2021 kepada di bawah paras sebelum pandemik sebanyak 416 juta stong pada masa ini (7% di bawah purata 2019 sebanyak 448 juta tong).

 

Risiko kelemahan berpunca daripada penyelesaian secara baik kepada konflik Rusia-Ukraine, kemunculan varian virus tahan vaksin baharu, kemungkinan minyak mentah Iran memasuki semula pasaran global dan lantunan semula yang ketara dalam pengeluaran syal AS.

 

Menurut Goh, ketidaktentuan harga minyak disebabkan konfil berkenaan telah mencetuskan aliran ekuiti yang berbeza untuk saham di bawah liputannya. 

 

Beliau mendapati, harga komoditi itu telah melonjak sebanyak 41% kepada AS$138 setong daripada AS$98 setong pada 25 Februari 2022, sebelum pencerobohan Ukraine dan kemudiannya jatuh sebanyak 18% kepada AS$113 setong pada masa ini.

 

Bagaimanapun, katanya, harga ekuiti saham minyak dan gas (O&G) tidak bergerak seiring memandangkan pelancaran kontrak fabrikasi yang tidak memberangsangkan oleh syarikat-syarikat utama minyak di tengah-tengah gangguan logistik akibat pandemik.

 

"Sejak awal tahun ini, harga minyak mentah Brent telah meningkat 46% dan hanya Hibiscus Petroleum Bhd., yang mempunyai pendedahan kepada aktiviti penerokaan dan pengeluaran secara langsung bergerak seiring dengan lonjakan 41% manakala Dialog Group Bhd. hanya meningkat 6% dan Petronas Chemicals Group Bhd. pula meningkat 5%.

 

"MISC Bhd. tidak berubah memandangkan kadar kapal tangki petroleum kekal rendah daripada volum penghantaran yang sentiasa rendah ketika OPEC bergelut untuk memenuhi kuota pengeluarannya sendiri.

 

"Tetapi, harga saham Bumi Armada Bhd., yang menanggung imbangan tunai seterusnya, jatuh 11%. Prestasi terburuk datang daripada Yinson Holdings Bhd., yang sedang melaksanakan langkah terbitan hak," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor O&G memandangkan kenaikan harga minyak mentah dan peningkatan permintaan global akan merangsang aliran kontrak yang lebih pantas merentasi rantaian nilai. - DagangNews.com