AmInvestment naikkan unjuran pendapatan IJM antara 9% ke 10% bagi FY23F hingga FY24F | DagangNews Skip to main content

AmInvestment naikkan unjuran pendapatan IJM antara 9% ke 10% bagi FY23F hingga FY24F

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - AmInvestment Bank Research menaikkan unjuran pendapatan IJM Corporation bagi FY23F sebanyak 9% dan FY24F sebanyak 10% bagi mencerminkan sumbangan kukuh bahagian hartanah, industri dan infrastruktur kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, IJM percaya bahawa inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi projek pembangunan infrastruktur akan menjadi norma baharu yang akan membantu menjimatkan modal kerajaan dan memberi manfaat kepada kontraktor besar.

 

"Kami percaya IJM merupakan calon terbaik untuk projek infrastruktur kerana memiliki rekod prestasi cemerlang selain kunci kira-kira yang sihat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, impak kenaikan bahan binaan hanya memberi kesan minimum kepada kumpulan itu kerana perkara itu sudah diambil kira dalam tempahan pembinaannya manakala bahagian pembuatan dan kuari, kos itu boleh diserapkan kepada pengguna akhir.

 

Sehingga kini tempahan pembinaan IJM adalah sebanyak RM4.2 bilion dengan RM1.3 bilion diraih pada 9MFY22. 

 

Kontrak utama yang diraih pada 9MFY22 adalah Jendela Residence, KLGCC Resort township (RM383 juta), kerja-kerja pembinaan struktur ECRL (RM258 juta), Fasa 2 JKG Land, The ERA @ North Duta (RM242 juta) dan Mezzo Residential Tower, The Light City, Pulau Pinang (RM238 juta).

 

"Kami mengunjurkan pertambahan tempahan sebanyak RM1.5 bilion antara FY22F hingga FY24F dengan kontrak berpotensi termasuk projek infrastruktur utama seperti kerja-kerja melibatkan MRT3 dan HSR," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' untuk IJM dengan nilai wajar (FV) RM1.71 berbanding RM1.65 sebelum ini. - DagangNews.com