AmInvestment positif terhadap perkembangan Malaysia Pacific Industries didorong peningkatan jualan EV global | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap perkembangan Malaysia Pacific Industries didorong peningkatan jualan EV global

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - AmInvestment Bank Research positif terhadap perkembangan jangka masa panjang Malaysian Pacific Industries Berhad didorong peningkatan trend peningkatan jualan global kenderaan elektrik (EV) sebanyak 67% dari tahun ke tahun.

 

Firma itu berkata, selain itu  perbelanjaan untuk perkhidmatan infrastruktur awan global juga mencatatkan berkembang sebanyak 9%.

 

Katanya, kumpulan itu juga berada di kedudukan terbaik bagi memanfaatkan pasaran EV terutama sebagai rakan global penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) dalam segmen automotif. 

 

"Kekuatan teras kumpulan adalah termasuk langkah awal dalam menghasilkan produk kuasa silikon karbida (SiC) dan galium nitrat (GaN) yang mempunyai aplikasi dalam EV, pelayan, tenaga boleh diperbaharui dan alat pengguna selain pelaburan berterusan dalam automasi untuk mengoptimumkan kos.

 

"Kedudukan tunai yang stabil sebanyak RM772 juta pada 30 Jun 2022yang membolehkan mereka terlibat dengan pelaburan strategik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, meskipun pemintaan terhadap perkhidmatan OSAT kumpulan itu tinggi namun pengurusan berpendapat bahawa kos operasi akan kekal tinggi pada FY23 melibatkan kilang di Suzhou. 

 

Selain itu katanya, kos tenaga yang lebih tinggi dijangka beri kesan kepada margin keuntungan kerana kumpulan itu terpaksa menanggung tambahan RM50 juta (15% daripada untung bersih teras FY22) dalam perbelanjaan tenaga.

 

"Walaupun tekanan kos yang semakin meningkat, mereka tidak berhasrat untuk menaikkan harga barangannya dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar lebih rendah RM38.40 sesaham berbanding RM45.16. - DagangNews.com