AmInvestment positif terhadap prospek jangka panjang Pentamaster didorong momentum pendapatan sektor teknologi automotif, perubatan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek jangka panjang Pentamaster didorong momentum pendapatan sektor teknologi automotif, perubatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - AmInvestment Bank Research kekal positif terhadap prospek jangka panjang Pentamaster Corporation Berhad didorong momentum pendapatan sektor teknologi automotif dan perubatan (medtech).

 

Katanya, kumpulan itu akan memberi tumpuan bagi mengembangkan jejaknya di Jepun dan Jerman bagi menyediakan peralatan wafer silikon karbida (SiC) kerana kedua-dua negara adalah peneraju dalam teknologi automotif mewah.

 

"Syarikat itu juga memanfaatkan i-ARMS (Sistem Pengilangan Robotik Automatik Pintar) bagi menyediakan rumusan automatik yang menyelaraskan kecekapan operasi pelanggan dan menyokong perkhidmatan perubatan.

 

"Kami percaya bahawa kedua-dua segmen automotif dan medtech akan mengimbangi kelembapan dalam segmen produk elektrik/perindustrian elektro-optik dan pengguna disebabkan oleh sentimen pengguna yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Pentamaster naik 17.1% kepada RM23.5 juta bagi 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen rumusan automasi kilang

 

Terdahulu, Hasil kumpulan itu juga meningkat 16.2% kepada RM180.74 juta daripada RM155.6 juta.

 

Hasil daripada segmen rumusan automasi kilang (FAS) kumpulan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 63.2% kepada RM88.3 juta pada 3QFY23 berbanding RM54.1 juta pada 3QFY22.

 

Segmen itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM25.6 juta berbanding RM15.3 juta pada 3QFY22, peningkatan sebanyak 67.9%.

 

Firma penyelidikan mengekalkan unjuran pendapatan FY23-FY25 kerana untung bersih teras 9MFY23 sebanyak RM73 juta mencapai jangkaan, menyumbang 77% daripada ramalan tahun penuh kami dan 72% daripada anggaran konsensus.

 

Hasil kumpulan bagi 9MFY23 meningkat 15% berikutan jualan yang lebih kukuh daripada kedua-dua bahagian peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automasi kilang (FAS). 

 

Katanya, bersama dengan kecekapan operasi yang lebih baik, ia meningkatkan pendapatan 9MFY23 sebanyak 13% kepada RM73 juta.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com