AmInvestment puji usaha kerajaan kukuhkan fiskal, akui rasionalisasi subsidi tidak beri kesan signifikan kepada inflasi | DagangNews Skip to main content

AmInvestment puji usaha kerajaan kukuhkan fiskal, akui rasionalisasi subsidi tidak beri kesan signifikan kepada inflasi

Penyasaran semula subsidi diesel dilaksanakan bermula 10 Jun 2024. Gambar hiasan BH Petrol
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Sept - AmInvestment Bank Research hari ini memuji inisiatif berterusan yang dilakukan kerajaan dalam mencapai pengukuhan fiskal atau hasil negara.

 

Malah firma penyelidikan itu mengakui salah satu usaha pengukuhan fiskal - rasionaliasi subsidi - jika dilaksanakan secara strategik mungkin tidak memberi kesan yang signifikan terhadap inflasi sekali gus menyanggah pandangan awal pihaknya sendiri. 

 

"Walaupun tempoh pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 masih belum diketahui, kami menjangkakan ia akan diteruskan tahun ini memandangkan persekitaran inflasi yang rendah pada masa ini dan sasaran defisit fiskal kerajaan sebanyak 4.3% daripada Keluaan Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini," katanya.

 

skds
Kesan rasionalisasi subsidi diesel kepada inflasi  kekal terkawal susulan langkah-langkah mitigasi kerajaan.

 

Dalam nota penyelidikan itu, AmInvestment berkata, defisit fiskal separuh pertama 2024 (1H2024) lebih tinggi berbanding 1H2023, tetapi semua pihak seharusnya melihat penurunan yang lebih pantas pada 2H2024.

 

Katanya, ini memandangkan niat kerajaan untuk mengurangkannya lagi kepada 4.3% daripada KDNK berbanding 2023, -5.0%. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan melihat kemungkinan merasionalisasikan subsidi petrol, gula selepas diesel

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit dijangka terus kukuh, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi, inisiatif kerajaan - Amir Hamzah

 

"Unjuran ini diperoleh daripada pertumbuhan KDNK nominal sebanyak 8.7%, perbelanjaan yang lebih rendah dan hasil yang sedikit lebih tinggi. 

 

"Langkah ini menandakan matlamat jangka sederhana kerajaan untuk mencapai defisit fiskal purata sebanyak 3.5% dari 2024 hingga 2026," jelasnya.

 

Sementara itu, kata AmInvestment, nisbah hutang terhadap KDNK adalah lebih tinggi pada 70.8% dalam 1H2024 (1H2023: 67.3%), terutamanya disebabkan oleh kelemahan Ringgit. 

 

"Nisbah hutang statutori Malaysia terhadap KDNK adalah sekitar 60.4% dalam 1H2024 berbanding 60.6% dalam 1H2023 (4Q2023: 62.1%). 

 

"Keadaan dijangka akan bertambah baik pada 2H2024, jadi, buat masa ini kami tidak melihat keperluan untuk meningkatkan had hutang," ujarnya. - DagangNews.com