AmInvestment turunkan 2% pendapatan FY22F Hibuscus Petroleum  | DagangNews Skip to main content

AmInvestment turunkan 2% pendapatan FY22F Hibuscus Petroleum 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan - AmInvestment Bank menurunkan pendapatan FY22F Hibiscus Petroleum sebanyak 2% bagi FY22F kerana pemerolehan aset huluan Repsol telah selesai pada 24 Januari tahun ini, lewat daripada andaian yang dibuat iaitu menjelang 31 Disember 2021.

 

AmInvestment berkata, pihaknya bagaimanapun kekal positif mengenai pengambilalihan aset Repsol oleh Hibiscus yang akan mengubah trajektori pendapatan kumpulan.

 

Katanya, menerusi pengambilalihan itu ia akan meningkatkan tiga kali ganda pengeluaran harian kumpulan kepada 26,800 tong.

 

 

"Kami mengekalkan syor BELI kami pada Hibiscus dengan nilai saksama berasaskan jumlah bahagian yang tidak berubah sebanyak RM1.18/saham," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

 

Hibiscus Petroleum dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa daripada harga belian sebanyak AS$212.50 juta (RM890.06 juta), jumlah bersih yang dibayar semasa siap ialah AS$123.65 juta selepas mengambil kira pelbagai pelarasan, termasuk deposit yang dibayar sebanyak AS$15 juta. 

 

Ia berkata, sesi memuktamadkan pengambilalihan itu berlaku sejurus selepas semua syarat dipenuhi seperti yang diumumkan pada 20 Januari 2022.

 

"Portfolio aset itu terdiri daripada kepentingan dan pengendalian di bawah lima kontrak perkongsian pengeluaran di Malaysia dan Vietnam. 

 

"Purata pengeluaran minyak dan gas harian kumpulan diunjurkan meningkat hampir tiga kali ganda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai pengendali aset yang baru diperoleh, ia berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk membina rekod prestasi operasi yang berjaya bagi aset pengeluarnya yang lain di United Kingdom dan Malaysia.

 

"Penyelesaian pengambilalihan ini membawa kepada penutupan proses yang bermula apabila kami mula-mula membida aset ini dan membuka lembaran baharu dalam fasa pertumbuhan kumpulan seterusnya,” kata Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Dr Kenneth Gerard Pereira. -DagangNews.com