KPJ Penang lancar blok baharu, perluas kapasiti bagi perkasa perkhidmatan penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

KPJ Penang lancar blok baharu, perluas kapasiti bagi perkasa perkhidmatan penjagaan kesihatan

Dari kiri, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar ketika pelancaran blok baharu KPJ Penang Specialist Hospital, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - KPJ Penang Specialist Hospital (KPJ Penang) melancarkan Blok Sayap Selatan baharu, menandakan pencapaian penting dalam misi KPJ Healthcare Berhad untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan di utara Malaysia serta kawasan sekitarnya.

 

KPJ Healthcare Berhad berkata, blok baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengukuhkan komitmen organisasinya untuk memajukan kemudahan penjagaan kesihatan dan memperkenalkan teknologi terkini, seterusnya mengukuhkan kepimpinannya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.

 

"Pengembangan KPJ Penang sejajar dengan sektor pelancongan kesihatan Malaysia yang semakin berkembang, menjadikan hospital ini sebagai destinasi yang dipercayai bagi pesakit antarabangsa yang mencari rawatan berkualiti tinggi," kata kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Dengan peningkatan jumlah kapasiti katil daripada 193 ke 319 unit, peluasan itu membolehkan KPJ Penang menampung lebih ramai pesakit serta melancarkan operasinya bagi memastikan penjagaan yang berkualiti tinggi dan tepat pada masanya dapat disampaikan kepada komuniti setempat.

 

Dilengkapi dengan Teknologi Krioterapi Cryo-7, KPJ Penang merupakan satu-satunya hospital di negeri Pulau Pinang yang menawarkan sistem khusus yang direka untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan melalui udara sejuk semasa proses pemulihan.

 

KPJ Penang juga mempunyai Perkhidmatan Pemulihan Robotik Tangan berteknologi tinggi yang menyediakan terapi berfokuskan ketepatan untuk menyokong peningkatan mobiliti dan hasil pemulihan.

 

Kemudahan hospital yang maju, dengan perkhidmatan Telemedicine Command Service untuk penyelarasan pesakit antarabangsa yang berkesan, meningkatkan lagi daya tarikan hospital kepada pelancong kesihatan sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.  

 

Sempena pelancaran berkenaan, KPJ Penang turut memperkenalkan inisiatif Program Sekolah Angkat dengan menamakan SMK Pendidikan Khas Bumbong Lima, sebuah sekolah untuk pelajar berkeperluan khas sebagai sekolah angkat. 

 

Menerusi program tersebut, pihak hospital akan menaja alat bantuan pendengaran, menyediakan saringan pendengaran percuma serta menawarkan penyelenggaraan tahunan peranti pendengaran bagi menyokong komuniti kurang upaya. 

 

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab korporat Kumpulan KPJ yang lebih luas, dengan komuniti pekak sebagai kumpulan fokus utama untuk tahun 2025. 

 

KPJ Healthcare turut merancang untuk memperluaskan latihan bahasa isyarat kepada kakitangannya serta membangunkan istilah bahasa isyarat berkaitan penjagaan kesihatan yang baharu bagi memudahkan komunikasi. 

 

Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, pelancaran blok baharu itu membuktikan usaha KPJ Healthcare dalam mengutamakan penjagaan yang berpusatkan pesakit. 

 

"Dengan peluasan ini, KPJ Penang kini mampu merawat lebih ramai pesakit, disokong oleh peningkatan kapasiti katil dan kemudahan moden seperti Pemulihan Robotik Tangan dan Terapi Cryo-7. 

 

"Menerusi inisiatif seperti Program Sekolah Angkat, KPJ mengukuhkan komitmen ke arah penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mudah diakses, dengan rancangan untuk memperluaskan latihan bahasa isyarat dan meningkatkan komunikasi untuk komuniti kurang upaya," kata ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut, baru-baru ini.

 

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Suriani  Ahmad; Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan; dan ahli lembaga pengarah serta pengurusan kanan KPJ.

 

Sejak 2003, KPJ Penang berjaya mengekalkan akreditasi Joint Commission International (JCI) yang berprestij, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap piawaian global dalam kualiti dan keselamatan pesakit.

 

Dengan peluasan baharu tersebut, KPJ Penang mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan penjagaan kesihatan pilihan di Malaysia, menawarkan penyelesaian berdaya cipta, menyokong kesihatan setempat serta memacu hasrat pelancongan kesihatan negara. - DagangNews.com