AmInvestment turunkan unjuran untung bersih 2021 UMWH 36.3% | DagangNews Skip to main content

AmInvestment turunkan unjuran untung bersih 2021 UMWH 36.3%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - AmInvestment Bank mengurangkan ramalan keuntungan bersih 2021F UMW Holdings Bhd (UMWH) sebanyak 36.3% untuk mencerminkan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih lama daripada jangkaan pada 3Q21.

 

Firma penganalisis itu bagaimanapun meningkatkan unjuran pendapatan UMWH 2022F/2023F masing-masing sebanyak 3.2% dan 8.0%  di atas jualan yang lebih tinggi daripada ketiga-tiga bahagiannya berikutan pembukaan semula ekonomi.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI bagi UMWH dengan jumlah bahagian (SOP) nilai saksama terbitan (FV) yang lebih rendah sebanyak RM3.90 daripada RM4.07 sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, antara penyumbang utama prestasi UMWH pada masa hadapan termasuklah sambutan yang baik terhadap model Toyota Corolla Cross CKD, penetapan semula masa bagi pelancaran produk untuk meminimumkan kesan kekurangan cip, pemulihan pendapatan jentera berat yang akan didorong oleh sektor perladangan dan pembinaan serta komitmen UMW Toyota (UMWT) untuk memperkenalkan satu model kenderaan elektrik (EV) baharu setiap tahun.

 

"UMWT telah memperoleh jumlah tempahan untuk tiga bulan selepas hanya sebulan membuka tempahan untuk Corolla Cross CKD melebihi jangkaan kami. 

 

"Kami menjangkakan model itu mempunyai harga yang kompetitif dan akan dilancarkan secara rasmi pada awal 2022. 

 

"Kami mengandaikan jualan UMWT sebanyak 72,000 unit untuk 2022, didorong sebahagiannya oleh penghantaran model itu, membayangkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.3%," katanya.

 

Selain itu AmInvestment berkata, disebabkan sambutan menggalakkan terhadap Perodua Myvi facelift yang dilancarkan baru-baru ini, Perodua berkemungkinan menangguhkan pengenalan Perodua Alza serba baharu yang sebelum ini dijangka membuat penampilan sulungnya pada 1H22. 

 

Dalam pada itu AmInvestment berkata, pihaknya menyukai UMWH memandangkan ia adalah proksi kepada pemulihan ekonomi selepas wabak COVID-19 dengan ketiga-tiga bahagiannya iaitu automotif, peralatan dan pembuatan & kejuruteraan bersedia untuk mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi. 

 

"Pendapatan jangka pendek akan disokong oleh penghantaran pelancaran model baharu (Perodua Myvi facelift, Perodua Alza, dan Toyota Corolla Cross) serta lanjutan pengecualian cukai jualan," katanya. -DagangNews.com