Amir Hamzah letak jawatan CEO TNB, beralih ke KWSP | DagangNews Skip to main content

Amir Hamzah letak jawatan CEO TNB, beralih ke KWSP

Amir Hamzah 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bakal meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuatkuasa 28 Februari depan. 

 

Amir Hamzah, 53 menyertai TNB pada April 2019 menggantikan Datuk Seri Azman Mohd. 

 

Susulan itu, jawatan CEO TNB bakal disandang oleh Datuk Ir. Baharin Din mulai 1 Mac 2021.

 

Menurut makluman berbeza di Bursa Malaysia, Baharin ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pengedaran di TNB sejak 2018. 

 

Dalam pada itu, TNB menerusi sebuah kenyataan memberitahu, Baharin menggantikan Amir Hamzah, yang telah dilantik Kementerian Kewangan untuk mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, berkuatkuasa 1 Mac 2021.

 

Jelas TNB, Baharin telah berkhidmat selama 36 tahun di TNB, bermula 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).

 

Baharin Din
Baharin Din

 

Beliau memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal dari Syracuse University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Bond University di Sydney.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan Amir Hamzah, beliau gigih meningkatkan ketelusan dan tadbir urus korporat, selain mempertingkatkan kecekapan organisasi sebagai sebahagian daripada mandatnya.

 

“Barisan Lembaga Pengarah ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Amir Hamzah atas sumbangan khidmatnya. Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha beliau meneruskan perkhidmatan kepada negara dalam peranan yang baharu.

 

“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada Baharin atas pelantikannya. Saya yakin beliau akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

 

"Beliau memiliki pengalaman yang luas dan sentiasa memberi tumpuan untuk mencapai agenda pertumbuhan TNB yang hebat," katanya. 

 

Sepanjang tempoh dua tahun lalu, TNB berjaya menyempurnakan beberapa inisiatif utama berpandukan pelan strategiknya, termasuk melengkapkan usaha transformasi seperti penubuhan bahagian Penjanaan dan Retail sebagai subsidiari bebas, dan melengkapkan pemerolehan strategik aset tenaga boleh baharu di luar negara.

 

“Meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya.

 

"Saya dan ahli Lembaga Pengarah yang lain berharap organisasi ini akan terus maju di bawah teraju kepimpinan Baharin," tambah Mahdzir lanjut.

 

Sementara itu, KWSP dalam kenyataan berbeza berkata, Amir Hamzah bakal menggantikan Tunku Alizakri Alias yang memegang jawatan CEO KWSP sejak 20 Ogos 2018.

 

Alizakri Alias
Alizakri Alias

 

Menurut kenyataan itu, Amir Hamzah memiliki lebih daripada 25 tahun pengalaman korporat, memulakan kerjayanya dengan Kumpulan Syarikat Shell sebelum berkhidmat sebagai CEO untuk MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Berhad, dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

 

Beliau memegang BSc dalam Pengurusan (jurusan Kewangan dan Ekonomi) dari Universiti Syracuse, New York.

 

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam dengan kapasiti yang berbeza.

 

"Bagi pihak KWSP, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Alizakri atas teladan perkhidmatannya  kepada KWSP dan mendoakan yang terbaik dalam usaha masa depannya.

 

"Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Amir Hamzah atas pelantikannya sebagai CEO KWSP baharu," ujarnya.

 

Untuk rekod, Alizakri telah berkhidmat untuk KWSP selama tujuh tahun dengan pelantikan pertamanya sebagai Timbalan CEO (Strategi) dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai CEO.

 

“Visi, dorongan, dan komitmen Alizakri kepada semua pihak berkepentingan KWSP, terutama anggota kami, terbukti dalam usaha berterusan KWSP ke arah mempercepatkan digital dan kecekapan operasi, penerapan ESG dan kemampanan sebagai metrik utama, serta memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan agenda,” tambah Ahmad Badri. - DagangNews.com