Amirul Feisal dijangka ganti Shahril Ridza terajui Khazanah Nasional | DagangNews Skip to main content

Amirul Feisal dijangka ganti Shahril Ridza terajui Khazanah Nasional


KUALA LUMPUR 29 Jun - Bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dijangka mengambil alih teraju Khazanah Nasional Berhad daripada Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang bakal tamat tempoh kontraknya pada Ogos ini.

 

Dalam pengumuman rasmi Maybank semalam, Amirul Feisal disahkan meletak jawatan daripada bank tersebut berkuatkuasa 15 Julai ini, dengan alasan 'untuk mengambil jawatan sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC)'.

 

Feisal menyertai Kumpulan Maybank pada September 2008 sebagai Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan, Maybank Investment Bank. 

 

Beliau kemudian menyertai Permodalan Nasional Berhad pada September 2010, dan kemudiannya dipinjamkan ke Chemical Company of Malaysia Bhd, seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut pada 2011.

 

Menurut satu laporan, pelantikan Amirul disifatkan `memeranjatkan' kerana dikatakan bukan antara `calon' yang disebut-sebut bagi menggantikan Shahril yang dilantik pada Ogos 2018 semasa rombakan besar-besaran GLC oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

 

Sebelum dilantik ke Lembaga Pengarah Khazanah, Shahril merupakan CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar.

 

shahril ridza
Datuk Shahril Ridza Ridzuan

 

Sepanjang tempoh 3 tahun perkhidmatannya ini, Shahril menyusun semula struktur portfolio Khazanah kepada segmen strategik dan komersial, mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak yang menuduhnya sebagai `menjual aset strategik negara', menurut The Edge.

 

Antara potfolio strategik tersebut ialah Malaysia Airports Holdings Bhd, Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB), PLUS Malaysia Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Iskandar Investment Bhd.

 

Paling terbaru ialah urus niaga penjualan SilTerra Malaysia Sdn Bhd yang asalnya dianggap aset strategik kepada Dagang NeXchange Bhd dan kemudiannya membuka pula pintu kepada Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) untuk RM273 juta. - DagangNews.com