Amirul Feisal disahkan terajui Khazanah sebagai Pengarah Urusan | DagangNews Skip to main content

Amirul Feisal disahkan terajui Khazanah sebagai Pengarah Urusan

Amirul Feisal Wan Zahir disahkan bakal mengambil alih teraju Khazanah Nasional mulai 16 Julai ini.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Khazanah Nasional Berhad mengesahkan pelantikan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan syarikat pelaburan negara itu berkuatkuasa 16 Julai 2021.

 

Amirul Feisal, 51, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) bakal menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang akan melepaskan jawatan tersebut apabila kontrak beliau tamat kelak bagi menumpukan perhatian kepada usaha peribadi.

 

“Lembaga Pengarah Khazanah mengalu-alukan pelantikan Amirul Feisal dan yakin bahawa berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan. 

 

Baca : Amirul Feisal dijangka ganti Shahril Ridza terajui Khazanah Nasional

 

“Lembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Shahril Ridza atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, terutamanya kejayaan beliau mengetuai pelaksanaan strategi yang telah menyaksikan Khazanah berada dalam kedudukan kukuh serta mampu mengharungi persekitaran yang serba mencabar akibat penularan pandemik COVID-19,” jelas Khazanah dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Maybank mengumumkan peletakan jawatan Amirul Feisal sebagai Ketua Pegawai Kewangan kumpulan setelah memegang peranan itu sejak 1 Julai 2016.

 

Baca : Amirul Feisal letak jawatan sebagai CFO Maybank

 

Beliau menyertai Maybank sebagai Ketua Kumpulan, Perbankan Global pada tahun 2014. 

 

Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dari tahun 2010 hingga 2014. 

 

Di CCM, beliau telah bertanggungjawab dalam usaha penyusunan semula dan transformasi perniagaan syarikat tersenarai awam tersebut. 

 

Pada tahun 2010, Amirul Feisal memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif, Projek Khas di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

 

Beliau pernah menjadi Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan di Maybank Investment Bank Berhad dari tahun 2008 hingga 2010, di mana beliau bertanggungjawab ke atas bahagian perbankan pelaburan, kewangan korporat, pasaran modal ekuiti dan modal teroka. 

 

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn Bhd dan sebelum itu memegang beberapa jawatan peringkat pengurusan di Citigroup Global Markets (Asia) Ltd, Salomon Smith Barney, Schroders dan KPMG.

 

Amirul Feisal merupakan Ahli Perbankan Bertauliah Asian Institute of Chartered Bankers, Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Felo Institute of Chartered Accountants England and Wales. 

 

Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi (Perakaunan dan Kewangan) dari London School of Economics. - DagangNews.com