AMMB, QL Resources mungkin ganti Hartalega, Top Glove dalam semakan KLCI seterusnya | DagangNews Skip to main content

AMMB, QL Resources mungkin ganti Hartalega, Top Glove dalam semakan KLCI seterusnya

KUALA LUMPUR 4 Nov - Hartalega Holdings Bhd dan Top Glove Corp Bhd boleh digantikan oleh AMMB Holdings Bhd dan QL Resources Bhd dalam semakan konstituen KLCI akan datang pada Disember, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata berdasarkan data pasaran Refinitiv pada penutupan dagangan pada 1 Nov 2022, Hartalega menduduki tempat ke-39 dalam permodalan pasaran, manakala Top Glove menduduki tempat ke-42.

 

"Kami fikir AMMB dan QL Resources, yang berada di kedudukan ke-28 dan ke-29 dalam permodalan pasaran, boleh masuk ke dalam indeks KLCI dalam semakan akan datang, menggantikan Hartalega dan Top Glove.

 

"Kami menganggarkan wajaran KLCI potensi AMMB dan QL Resources masing-masing adalah 1.9 peratus dan 1.2 peratus, berbanding 1.0 peratus semasa Top Glove dan 0.8 peratus Hartalega," katanya, Bernama melaporkan.

 

Oleh itu, CGS-CIMB telah mengesyorkan panggilan "tambah" pada AMMB dan QL Resources kerana kedua-dua syarikat boleh mendapat minat pelabur didorong potensi kemasukan mereka.

 

Di samping itu, CGS-CIMB berpendapat mungkin terdapat tekanan jualan jangka pendek ke atas Top Glove dan Hartalega jika mereka dikecualikan daripada KLCI.

 

Ini juga bermakna pemain sarung tangan tidak akan diwakili di KLCI manakala sektor bank dan pengguna akan menyaksikan wajaran yang lebih tinggi di KLCI.

 

Sementara itu, Hap Seng Consolidated Bhd, yang berada di kedudukan ke-26 lebih tinggi dalam permodalan pasaran, mungkin tidak layak kerana pengiraan CGS-CIMB menunjukkan bahawa ia tidak memenuhi ujian kecairan.

 

Penyedia global penanda aras, analitik dan penyelesaian data FTSE Russell akan menggunakan data pada penutupan dagangan pada 21 Nov untuk semakan dan mengumumkan perubahan kepada pasaran pada 1 Dis. - DagangNews.com