Anak syarikat Felda dapat tawaran urus resort milik Telekom Malaysia | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Felda dapat tawaran urus resort milik Telekom Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini meluaskan lagi pegangan dalam industri perhotelan melalui anak syarikatnya, Grand Borneo Hotel Sdn Bhd (GBHSB) yang telah menerima tawaran daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menguruskan resort-resort miliknya.


 
Menurut Felda, dengan tawaran yang diterima daripada TM ini, Grand Borneo Hotel bakal menguruskan tambahan lima resort baharu yang dijangka mula beroperasi pada Oktober 2022. 

 

 

felda
Pengurus Besar GBH, Azhar Sanusi menandatangani surat tawaran menguruskan resort milik TM yang diwakili Pengurus Besar Perniagaan Sokongan TM, Ahmad Ridhaudin, disaksikan Pengerusi GBH, Datuk Amir Hamdan dan Timbalan Presiden Perniagaan Sokongan TM, Azlan Ariff Mohd. Suah, hari ini.

 

 

Tambahan resort yang diuruskan itu akan menyaksikan Grand Borneo Hotel tampil dengan lebih banyak pilihan menarik buat bakal pengunjung dengan konsep yang berbeza mengikut kepada lokasi dan fasiliti yang disediakan. 

 

"Ia akan dijenamakan semula sesuai dengan prestij yang dibawa nama Felda dan TM secara amnya. 

 

"Resort-resort ini terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Cameron Higlands, Pahang; Fraser’s Hill, Pahang dan Kundasang, Sabah akan diuruskan oleh pihak Grand Borneo Hotel dalam merancakkan lagi industri pelancongan tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tawaran yang diterima ini mampu melonjakkan kedudukan Grand Borneo Hotel lantas merealisasikan aspirasi dan visi untuk menjadikannya sebagai peneraju perhotelan secara profesional. 

 

Jaringan kerjasama ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara Felda dan TM yang pastinya akan mengorak langkah bagi sinergi yang memberi keuntungan untuk kedua-dua pihak. - DagangNews.com