Anak syarikat Petronas Gas terbit RM3 bilion Sukuk Murabahah | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Petronas Gas terbit RM3 bilion Sukuk Murabahah

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Anak syarikat Petronas Gas Berhad (Petronas Gas) dengan pemilikan 65% saham, Pengerang LNG (Dua) Sdn. Bhd. telah mengemukakan penerbitan sebanyak RM3 bilion program Sukuk Murabahah kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

Petronas Gas menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia berkata, sukuk itu mempunyai jangka masa selama 30 tahun bermula tarikh terbitan pertama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh ia dikemukakan kepada SC atau tarikh lain. 

Program Sukuk Murabahah itu telah diiktiraf dengan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Berhad.

“Hasil daripada sukuk berkenaan akan digunakan untuk pembayaran balik pendahuluan pemegang saham dan / atau tebusan saham pilihan termasuk kos yang berkaitan. Penggunaan lain daripada hasil penerbitan pertama harus bergantung kepada kemampuan penerbit sukuk untuk melakukan pembayaran terhad.

“Kedua, pembayaran awal perjanjian penggunaan jeti bertarikh 28 Februari 2017 antara Pengerang Terminals (Dua) Sdn. Bhd. dan PLNG2, tertakluk kepada perjanjian antara kedua-dua pihak atau persetujuan tertentu.

“Ketiga, bagi modal bekerja, perbelanjaan modal dan korporat serta membiayai akaun rizab perkhidmatan kewangan,” kata Petronas Gas. 

Tambah Petronas Gas, Sukuk Murabahah itu akan menyediakan PLNG2 dengan kelonggaran untuk mengumpulkan dana jangka masa sederhana dan panjang untuk memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan, apabila diperlukan termasuk mengoptimumkan struktur dan perbelanjaan modal. 

“PLNG2 juga akan mempelbagaikan sumber pembiayaan bagi menambah baik fleksibiliti kewangan dengan menembusi pasaran modal hutang Islam,” kata Petronas Gas. 

Di bawah program sukuk berkenaan, ia akan dikira gagal sekiranya Petronas Gas berhenti memegang sekurang-kurangnya 51% saham dalam PLNG2. - DagangNews.com