Anak syarikat PTT Synergy beli dua kilang bernilai RM22 juta di Sepang | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat PTT Synergy beli dua kilang bernilai RM22 juta di Sepang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd., anak syarikat sepenuhnya PTT Synergy Group Berhad membeli dua bidang tanah bersama kilang yang keseluruhannya bernilai RM21.99 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, PTT Synergy berkata, dua bidang tanah itu terletak di Pusat Perindustrian Serenia, Bandar Serenia, Sepang, Selangor.
 

Katanya, Pembinaan Tetap Teguh telah memasuki perjanjian jual beli (SPA) secara berasingan dengan Sime Darby Property (Serenia City) Sdn. Bhd. dan Sime Darby Property (Ampar Tenang) Sdn. Bhd. pada 17 Julai 2024 yang masing-masing melibatkan nilai RM10.99 juta.

 

"Setiap kilang semi-D (berkembar) itu berkeluasan 17,608 kaki persegi dengan keluasan tanah 2,633.4 meter persegi," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PTT Synergy raih kontrak daripada dua unit Sime Darby Property bernilai RM169.84 juta

 

Menurut PTT Synergy, pembelian akan dipenuhi sepenuhnya dengan cara pinjaman luar.

 

"Cadangan pengambilalihan adalah untuk operasi perniagaan Kumpulan PTT untuk menampung pengembangan perniagaan.

 

"Hartanah terletak di lokasi yang strategik dan mudah diakses oleh lebuh raya utama. Oleh itu, hartanah ini dijangka sesuai untuk menampung pengembangan perniagaan," katanya yang memaklumkan Lembaga Pengarah percaya prospek masa depan Hartanah adalah menguntungkan. - DagangNews.com