Anak syarikat Supermax bakal ambil alih 2 tanah SP Setia | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Supermax bakal ambil alih 2 tanah SP Setia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Anak syarikat sarung tangan besar di Malaysia, Supermax Corporation Berhad (Supermax) iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. (Maxter) membeli dua bidang tanah daripada Bandar Setia Alam Sdn. Bhd.

Bandar Setia Alam merupakan 100% anak syarikat SP Setia Berhad. 

Supermax menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia berkata, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) tanah berkenaan yang dibeli pada nilai RM73,488,280 di Bukit Raja.

“Pengambilalihan tanah itu akan dibiayai menerusi dana dalaman dan pinjaman bank. Jumlah kedua-dua dana itu akan diumumkan pada tarikh yang ditentukan kemudian. 

“Pembelian tanah berkenaan akan digunakan untuk membina ibu pejabat operasi Maxter yang bakal melengkapkan keperluan operasi kumpulan pada masa akan datang,” kata Supermax.

Kedua-dua tanah itu berstatus pegangan bebas dan bagi kegunaan pembinaan bangunan. 

Tanah pertama yang berukuran kira-kira 2.364 ekar bernilai RM35,012,180.00, manakala tanah kedua yang berukuran kira-kira 2.598 ekar bernilai RM38,476,100.00. 

Pengambilalihan tanah itu tidak menjejaskan modal saham dan pemegangan saham besar oleh pemegang saham. 

“Ia juga dijangka tidak mempengaruhi perolehan sesaham, aset bersih sesaham dan penyesuaian syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

“Tanpa sebarang perkara yang tidak dijangka, pengambilalihan ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tanpa syarat,” tambah Supermax. - DagangNews.com