(ANALISIS) Hanya Khazanah yang beria-ia gabungkan UEM Sunrise-EcoWorld? | DagangNews Skip to main content

(ANALISIS) Hanya Khazanah yang beria-ia gabungkan UEM Sunrise-EcoWorld?

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 


Lima hari selepas UEM Group Bhd. mengumumkan pelan penggabungan anak syarikatnya, UEM Sunrise Bhd. dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), UEM Sunrise kehilangan tunggak utama apabila Anwar Syahrin Abdul Ajib meletakkan jawatan Jumaat lalu. 

Selain Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif itu, Subimal Sen Gupta Sen, ahli lembaga pengarahnya bertindak dua hari lebih awal meninggalkan UEM Sunrise. 

Kini anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad itu hilang nakhoda, dibiar terkapai-kapai dan semakin menimbulkan banyak tanda tanya. 

Apatah lagi setelah seminggu cadangan penggabungan itu dibuat, ahli politik seolah-olah sebulat suara sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan langkah tersebut.

Isunya, bukan sahaja sejauh mana entiti terbesar itu nanti mampu melindungi kepentingan bumiputera dan hak rakyat, malah mengapa sekarang juga mahu 'berkahwin'? 

COVID-19 tengah menggila, kes naik mencanak-canak hampir saban hari. Esok pula, seorang pemimpin parti pembangkang mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong. 

Dunia korporat pula huru-hara dengan macam-macam benda, isu Malaysia Airlines pun belum selesai, tambah satu lagi masalah UEM Sunrise-EcoWorld. 

Sektor hartanah adalah antara industri paling terjejas disebabkan pandemik ini, terutama dengan isu rumah tidak terjual mencecah RM20.03 bilion pada separuh pertama tahun ini. 

 

Baca : UEM Sunrise akan dibebani hutang jika bergabung dengan Eco World, kata Najib Razak      

Baca : UEM Sunrise untung, EcoWorld rugi - Kenanga 

Baca : UEM Sunrise-EcoWorld merger must not be expense at the expense of the rakyat

 

Kita tahu apa sahaja langkah korporat, yang menjadi korban adalah pekerja. Belum lagi cerita hak rakyat. Sebab selain Khazanah yang memiliki UEM Sunrise 66%, ia juga dimiliki Lembaga Tabung Haji, 7% dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula 4%. 

Ketiga-tiga dana ini bersumberkan wang rakyat walaupun hakikatnya, rumah yang dibangunkan UEM Sunrise mahupun EcoWorld hanya mampu dimiliki golongan kayangan (yang entah ya atau tidak memiliki simpanan di Tabung Haji mahupun KWSP).  

Kadar penggangguran disebabkan pandemik ini pernah naik sehingga 5.3% pada Mei dengan 826,100 orang hilang pekerjaan. Sekalipun jumlah itu kembali menurun kepada 4.7% pada Julai dengan 745,100 orang hilang kerja tetapi kadar ini masih lagi tinggi dan membimbangkan. Keputusan penggabungan ini, akan menyumbang kepada jumlah pengangguran sedia ada. 

Pada masa sama, langkah ini juga dilihat sebagai satu usaha 'bailout' dan kemungkinan jika diteruskan UEM Sunrise akan dibebani hutang yang tinggi. 

Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) sebelum ini berkata, penggabungkan itu akan menyebabkan profil kredit yang lemah dalam kumpulan UEM Sunrise yang lebih besar dengan nisbah hutang kepada ekuiti meningkat kepada 0.90x berbanding 0.56x setakat Jun 2020. 

EcoWorld hakikatnya mempunyai beban hutang yang tinggi. Syarikat yang diasaskan Tan Sri Liew Kee Sin itu (selepas beliau menjual SP Setia kepada Permodalan Nasional Berhad) mempunyai nisbah gearan 0.74x setakat 6 Oktober 2020.

UEM Sunrise pula masih memiliki lebih RM788 juta tunai dengan nisbah geran 0.55x bagi tempoh itu. Keseluruhan aset UEM Sunrise kini berjumlah RM13.73 bilion manakala EcoWorld pula RM10.08 bili0n, menurut nota kajian UOB Kay Hian. 

 

Projek UEM Sunrise di Iskandar Puteri, Johor
Antara projek UEM Sunrise di Iskandar Puteri, Johor.
​​

 

Walaupun di mata penganalisis pasaran, penggabungan ini akan memberi kelebihan kepada dua-dua pihak, namun banyak perkara perlu diberi perhatian, terutama tempoh sama sekarang yang amat tidak sesuai. 

Kehilangan Anwar Syahrin juga pastinya mencetuskan persoalan, siapakah yang akan menerajui entiti besar ini. Bolehkah jaminan diberikan kepada bumiputera selepas Khazanah mengurangkan pegangannya dalam UEM Sunrise. 

Khazanah, apa sudah jadi? Mengapa kerajaan berdiam diri hingga saat ini, atau memang Khazanah yang beria-ia nak bergabung. Tolong simpan sedikit kerja 'gila' itu, tahun 2020 berbaki dua bulan lebih sahaja lagi. - DagangNews.com