Ancom minta tangguh bayaran hutang RM14 juta kepada Nylex, lagi setahun | DagangNews Skip to main content

Ancom minta tangguh bayaran hutang RM14 juta kepada Nylex, lagi setahun

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Nylex (Malaysia) Berhad telah meluluskan permohonan syarikat induk kumpulan, Ancom Berhad untuk menangguhkan bayaran hutang kepadanya sebanyak RM14 juta bagi tempoh setahun lagi, menjelang 31 Mei 2022.

 

Ini menyaksikan permohonan bagi penangguhan bayaran hutang buat kali kedua sejak perjanjian pemberian pinjaman oleh Nylex kepada Ancom ditandatangani pada 31 Mei 2017. 

 

“Lembaga Pengarah Nylex (dengan pengecualian pengarah-pengarah dinamakan di bawah) pada 4 Mei 2021 lalu telah meluluskan permohonanan Ancom bagi perjanjian lanjutan bayaran balik pinjaman. 

 

“Perjanjian itu tidak tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia. 

 

“Penangguhan ini dijangka tidak mendatangkan impak besar ke atas struktur pemegangan saham Nylex dan perolehan atau aset bersih oleh Kumpulan Nylex bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2021,” jelas Nylex dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

Dalam makluman Nylex pada 19 April 2019, kumpulan telah menerima surat bertarikh 3 April 2019 dari Ancom yang memohon untuk melanjutkan tarikh bayaran balik pinjaman asal daripada 31 Mei 2019 kepada 31 Mei 2021. 

 

Namun, pada 3 Mei 2021, kumpulan sekali lagi menerima surat permohonan dari Ancom untuk melanjutkan tempoh bayaran balik penuh pinjaman selama setahun, yang jatuh pada tarikh baharu iaitu 31 Mei 2022.

 

Baca : Ancom mahu ambil alih Nylex sepenuhnya - Sumber

 

Tambah Nylex, nisbah peraturan tertinggi yang boleh diguna pakai untuk perjanjian lanjutan berkenaan adalah kira-kira 4.7%, mengikut Syarat Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. 

 

Jelas syarikat itu lagi, Pengarah Urusan Kumpulan Nylex, Datuk Siew Ka Wei merupakan pemegang kepentingan terbesar menerusi kepentingan langsung sebanyak 12.21% dan tidak langsung, 9.54% dalam Ancom. 

 

“Ancom dan anak syarikat milik penuhnya, Rhodemark Development Sdn Bhd, merupakan pemegang saham terbesar Nylex dengan kepentingan ekuiti, masing-masing sebanyak 18.27% dan 32.01%. Pihak-pihak berkaitan dengan Ka Wei iaitu Siew Nim Chee & Sons Sdn Bhd, Silver Dollars Sdn Bhd, Datin Young Ka Mun, dan Siew Ka Kheong memegang kepentingan ekuiti langsung sebanyak 2.03% dalam syarikat (Nylex). 

 

“Oleh itu, Ka Wei dianggap berminat dengan perjanjian lanjutan tersebut dan mengelak daripada semua pertimbangan, membuat cadangan serta mengundi bagi perjanjian lanjutan itu. Kesemua peratusan kepentingan ekuiti yang didedahkan adalah setakat 30 April 2021,” tambah Nylex. - DagangNews.com