Anggaran pendapatan FY20 PCG dikurangkan -13.6% | DagangNews Skip to main content

Anggaran pendapatan FY20 PCG dikurangkan -13.6%

Petronas Chemicals Group Berhad (PCG)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Anggaran pendapatan syarikat pengeluar bahan kimia terkemuka Asia Tenggara, Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) dikurangkan sebanyak -13.6% kepada RM1,589 juta bagi tahun kewangan 2020.

 

MIDF Research berkata, jumlah itu dikurangkan berbanding anggaran awal yang diletakkan iaitu RM1,840 juta.

 

"Kami berpendapat bahawa anggaran pendapatan tahun kewangan 2020 agak menaik dan sekarang kami jangkakan akan berlaku tiga perkara iaitu permintaan pemulihan yang lemah berikutan kes baharu COVID-19 di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini.

 

"Ia juga berkait dengan harga minyak mentah yang terus diperdagangkan ke tahun kewangan 2021 dan pilihan penghantaran yang terhad akibat sekatan COVID-19 yang berpanjangan.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2020 sebanyak -13.6% kepada RM1,589 juta berbanding RM1,840 juta pada sebelumnya," jelas MIDF Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research mengambil keputusan untuk mengekalkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 pada ketika ini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' saham PCG dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM5.85," ujar MIDF Research lagi.

 

PCG mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan sebanyak RM471.0 juta pada suku ketiga 2020.

 

Jumlah yang dicapai itu sejajar dengan pemulihan harga minyak dan kelonggaran sekatan perjalanan akibat COVID-19 di seluruh dunia secara beransur-ansur.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research yang membuat analisis terhadap kumpulan itu mengambil keputusan untuk membuat saranan 'kurangkan' saham PCG.

 

Saranan itu dibuat bersama nilai TP berjumlah RM6.18. - DagangNews.com