Prospek pendapatan United Malacca pada FY25 diunjur positif dipacu penurunan kos pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan United Malacca pada FY25 diunjur positif dipacu penurunan kos pengeluaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Prospek pendapatan United Malacca Bhd pada FY25 diunjur positif dengan jangkaan harga minyak sawit mentah (MSM) berada sekitar RM3,800 bagi setiap tan selain penurunan kos pengeluaran. 

 

Kenanga Research berkata, harga MSM dijangka berada sekitar RM3,800 bagi setiap tan kerana teradapat imbangan bekalan dan permintaan terhadap minyak makanan yang agak ketat.

 

Katanya, selepas lebihan pengeluaran tahun lepas, bekalan minyak makan global dijangka berkembang lebih perlahan daripada permintaan pada 2024 serta 2025 yang membawa kepada tahap inventori yang sederhana dan menyokong harga MSM yang kukuh.

 

"Kos pengeluaran diramal kekal terkawal sepanjang FY24-FY25 kerana kos baja dan bahan api yang lebih lemah serta kenaikan harga isirung sawit (PK) dijangka meningimbangi kenaikan gaji pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih hamper lima kali ganda kepada RM13.29 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2024 (1QFY25) berbanding RM2.68 juta bagi tempoh sama tahun lalu didorong sumbangan lebih tinggi daripada operasinya di Malaysia.

 

Lonjakan keuntungan bersih itu didorong oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi manakala hasil meningkat 20.54% tahun ke tahun kepada RM163.88 juta daripada RM135.95 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun unit kumpulan itu di Indonesia mencatatkan kerugian sekali lagi pada 1QFY25 akibat hasil yang sangat teruk - estet jiran lain juga menghadapi isu yang sama disebabkan banjir.

 

Katanya, bagaimanapun, penuaian Ogos 2024 meningkat dan yang lebih penting kawasan penanaman semasa di Kalimantan dijangka berkembang daripada 8,129 hektar kepada kira-kira 11,400 hektar dan hasil buah tandan segar (BTS) dijangka pulih dan bertambah baik apabila pokok-pokok itu matang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com