KUALA LUMPUR 11 Nov - AmBank Economic Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang dengan lebih perlahan pada suku ketiga tahun 2024 (3Q2024) sebanyak 5.1%, turun daripada anggaran sebelumnya iaitu 5.3%.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan statistik terkini, unjuran terbaharunya mencerminkan peningkatan sedikit daripada anggaran awalnya sebanyak 5%.
"Ini menyokong pandangan awal angka suku ketiga masih pada sekitar paras 5% selepas mencapai pertumbuhan puncaknya pada suku sebelumnya.
"Sekiranya ini menjadi kenyataan, pertumbuhan Malaysia bagi sembilan bulan pertama tahun ini akan berada pada 5.1%, sejajar dengan unjuran rasmi KDNK pada 4.8% hingga 5.3% seperti yang dinaik taraf baru-baru ini dalam pengumuman Belanjawan 2025 bulan lepas.
"Kami berpendapat pertumbuhan KDNK disokong oleh penggunaan isi rumah di tengah-tengah pasaran buruh teguh, dibuktikan oleh penurunan kadar pengangguran ke tahap pra-pandemik sebanyak 3.2% sejajar dengan ramalan akhir tahun kami," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Katanya, sektor perkhidmatan terus memacu momentum ekonomi pada suku tersebut.
"Bagaimanapun, unjuran kami menunjukkan pertumbuhan sederhana sebanyak 5.2% akibat kekurangan perbelanjaan semasa musim perayaan.
"Sebaliknya, pertumbuhan sektor perkilangan meningkat 5.8% pada suku tersebut berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 4.7% di tengah-tengah eksport stabil.
"Trend itu berkemungkinan susulan daripada pemuatan hadapan inventori menjelang tarif dari Amerika Syarikat (AS).
Di samping itu, firma tersebut berpendapat pertumbuhan KDNK pada 4Q2024 akan terus menjadi sederhana akibat tekanan daripada ketidaktentuan dalam pembangunan global yang boleh menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan.
Sementara itu, KDNK negara pada 2024 pula dikekalkan pada 4.9% yang dijangka boleh mencapai sasarannya memandangkan ia sejajar dengan anggaran rasmi.- DagangNews.com