Pasaran Indonesia, China dan India penyumbang utama peningkatan penumpang - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pasaran Indonesia, China dan India penyumbang utama peningkatan penumpang - MIDF Research

Malaysia menjadi destinasi pelbagai syarikat penerbangan dari China. Gambar FB MAHB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Sept - Indonesia, China, dan India merupakan pasaran antarabangsa utama yang menjadi penyumbang besar kepada peningkatan trafik penumpang udara setakat ini, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan trend untuk pasaran China dan India bakal berterusan disokong oleh dasar perjalanan 30 hari tanpa visa secara timbal balik dengan China melanjutkan polisi ini untuk rakyat Malaysia sehingga 25 Disember 2025.

 

"Secara khusus, kadar pemulihan untuk China dan India masing-masing berada pada 98% dan 93% pada akhir suku kedua tahun kalendar 2024. 

 

"Sementara itu, pemulihan sektor domestik mencatatkan sedikit peningkatan +2.3% tahun ke tahun pada Ogos 2024, didorong oleh operasi jet di Lapangan Terbang Subang setelah pengenalan perkhidmatan baharu oleh syarikat penerbangan tempatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan pemulihan sektor penerbangan akan kekal dalam julat 80% hingga 90% untuk baki tahun 2024.

 

Kata firma penyelidikan tersebut, ini terutamanya disebabkan kekangan kapasiti kerana syarikat penerbangan memberi tumpuan kepada pasaran antarabangsa yang menunjukkan permintaan yang lebih besar.

 

"Lapangan terbang di Malaysia telah mengekalkan jumlah penumpang melebihi 8 juta untuk bulan kedua berturut-turut. Trafik penumpang bulanan mencapai kadar pemulihan sebanyak 89% (domestik: 85%, antarabangsa: 92%) pada Ogos 2024. 

 

china
Pengecualian visa kepada pelancong China meningkatkan jumlah trafik sepanjang 2024 - Gambar MAHB 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lapangan Terbang Subang catat peningkatan 25% trafik antarabangsa dengan penyambungan semula operasi pesawat

 

"Pemulihan ini banyak dipacu oleh peningkatan kekerapan penerbangan dan pelancaran syarikat penerbangan baharu, terutamanya dalam sektor antarabangsa, yang secara konsisten mengatasi pemulihan sektor domestik dalam 10 bulan terakhir. 

 

"Ini membawa kadar pemulihan kepada 90% (domestik: 85%, antarabangsa: 95%) untuk 8 bulan tahun 2024 (8MCY24)," jelasnya.

 

MIDF Research berkata, pihaknya baru-baru ini menurunkan anggaran trafik penumpang untuk Malaysia disebabkan oleh cabaran terkini dalam industri termasuk kelewatan dalam penghantaran pesawat dan kekurangan komponen serta tenaga kerja. 

 

Firma penyelidikan itu kini menjangkakan pemulihan tahun 2024 akan mencapai 94% dengan pertumbuhan sebanyak +4.0%. 

 

Walau bagaimanapun, katanya, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan penurunan harga bahan bakar baru-baru ini memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, kerana sebahagian besar perbelanjaan mereka, terutamanya bahan bakar jet, adalah dalam denominasi dolar AS. 

 

"Kami juga menjangkakan bahawa persekitaran hasil tinggi akan berterusan, dengan purata tambang kemungkinan meningkat ketika Malaysia Airlines mengurangkan kapasiti sebanyak -20% untuk baki tahun ini," ujarnya.

 

MIDF Research dalam pada itu mengekalkan aranan 'Neutral' sektor ini dengan Capital A (BELI, TP: RM1.06) terus menjadi pilihan Utama.

 

"Ini kerana perniagaan penerbangannya (Capital A) kurang terjejas oleh gangguan terkini dalam industri. 

 

"Kami percaya rancangan pengaktifan dan pengembangan armadanya meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk mengatasi kekurangan kapasiti. 

 

"Dalam perkembangan lain, Kumpulan hampir menyelesaikan rancangan regularisasi PN17 dan dijadualkan selesai menjelang suku keempat tahun kewangan 2024," katanya. - DagangNews.com