Jualan Eco World Development dijangka cecah RM4.5 bilion pada akhir tahun, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jualan Eco World Development dijangka cecah RM4.5 bilion pada akhir tahun, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kenanga Research menjangkakan jualan Eco World Development Group Bhd mencecah RM4.5 bilion pada penghujung tahun ini dengan kemajuan dalam semua segmen perniagaannya.

 

Selain itu katanya, jualan itu akan diperkukuhkan dengan tonggak pendapatan baharu dalam bidang perindustrian iaitu Quantum.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi kediaman, Eco South mencatatkan jualan RM2.2 bilion, dan Eco Central berada di tempat kedua dengan jualan RM931.0 juta direkodkan daripada fasa sedia ada dan pelancaran baharu.

 

Eco Rise, merupakan tonggak hasil yang paling pesat berkembang, dengan 1,800 unit pangsapuri "Duduk" membentuk 85% daripada jualan Eco Rise. Siri "Duduk" mampu milik kumpulan itu berharga di bawah RM500,000 kini boleh didapati di seluruh wilayah tengah, utara dan selatan.

 

"Kumpulan itu sedang mencari bank tanah baharu, khususnya di Lembah Klang dan Iskandar Malaysia bagi mengembangkan perniagaannya disokong penggearan bersih 0.31x," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jualan kumpulan untuk 10 bulan FY24 mencecah RM3.5 bilion, melepasi sasaran setahun penuhnya sebanyak RM3.5 bilion.

 

Bagaimanapun, mereka tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran jualan semasa walaupun berjaya melepasi asaran itu lebih awal.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen perindustrian, mereka mencatatkan jualan RM1.1 bilion dalam 9MFY24, dengan RM626 juta daripada Quantum dan RM423 juta daripada Eco Business Parks.

 

Katanya, ia menyokong permintaan kukuh bagi produk perindustrian dan berada di landasan untuk melancarkan Eco Business Park VI di Kulai, Johor, pada FY25.

 

"Penjualan tanahnya kepada Microsoft baru-baru ini boleh membuka pintu kepada lebih ramai pembeli, tempatan dan antarabangsa, kerana kehadiran Microsoft boleh membantu memangkin aktiviti perniagaan di kawasan sekitar," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran RM1.41 sesaham.- DagangNews.com