OMS Group peruntuk AS$300 juta kembangkan sistem kabel dasar laut, infrastruktur darat  | DagangNews Skip to main content

OMS Group peruntuk AS$300 juta kembangkan sistem kabel dasar laut, infrastruktur darat 

Gambar Hiasan dari laman web rasmi OMS Group
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - OMS Group, syarikat infrastruktur telekomunikasi bersepadu, memperuntukkan AS$300 juta bagi pengembangan sistem kabel dasar laut dan infrastruktur daratnya.

 

Menerusi peruntukan itu, syarikat berkenaan menyasar untuk meningkatkan ketersambungan antara kawasan utama dan menyokong penggunaan teknologi digital yang semakin meningkat.

 

Katanya, pelaburan itu merupakan pembiayaan pada 2023 daripada firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat (AS) KKR & Co.

 

Menurut OMS, peruntukan itu membolehkan syarikat mengembangkan lagi rangkaiannya dan menyediakan infrastruktur ketersambungan kritikal kepada perniagaan dan organisasi.

 

"OMS akan bekerjasama dengan penyedia telekomunikasi bagi memajukan infrastruktur penting, menggunakan modal pelaburan jangka panjangnya untuk membantu mereka mengalihkan perbelanjaan modal kepada perbelanjaan operasi yang mampan.

 

"Perkongsian itu akan membolehkan syarikat menyampaikan rumusan kabel dasar laut berskala dan tulang belakang digital yang teguh bagi memacu transformasi digital serantau.

 

"Pelaburan itu termasuk memperoleh pemilikan langsung sistem kabel dasar laut dan membangunkan infrastruktur backhaul daripada stesen pendaratan kabel (CLS) ke pusat data, meningkatkan lagi strateginya," ujar OMS. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OMS, Ronnie Lim berkata, pelaburan strategik syarikat merupakan tindak balas proaktif terhadap keperluan perubahan landskap digital global.

 

Beliau menyatakan pengembangan pesat pusat data, perkhidmatan awan dan penggunaan sistem kabel semasa yang tinggi telah menjana keperluan mendesak untuk meningkatkan infrastrukturnya. 

 

"Sebagai sebahagian daripada visi ini, kami menyasarkan untuk menjadi pusat sehenti untuk keperluan pelanggan merentasi dasar laut, CLS dan rangkaian daratan, bermula dengan rantau ASEAN.

 

"Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja akan menyelaraskan akses kepada perkhidmatan komprehensif kami tetapi juga mengembangkan rangkaian selanjutnya ke pasaran APAC yang lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan kami yang pelbagai," jelasnya. - DagangNews.com