Anggaran perolehan FY22 Hartalega ditingkatkan kepada RM3.99 bilion | DagangNews Skip to main content

Anggaran perolehan FY22 Hartalega ditingkatkan kepada RM3.99 bilion

Hartalega

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Anggaran perolehan syarikat pengeluar sarung tangan getah, Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) disemak naik sebanyak 59.6% kepada RM3.99 bilion bagi tahun kewangan 2022.

 

MIDF Research berkata, semakan kepada jumlah berkenaan dibuat memandangkan keputusan suku pertama tahun kewangan 2022 syarikat berkenaan adalah di luar jangkaan pihaknya.

 

"Sementara itu, kami kekalkan anggaran bagi tahun kewangan 2023 sementara menunggu penjelasan lebih lanjut berkaitan trend ASP (purata harga jualan) yang disasarkan meningkat.

 

"Kami meningkatkan penarafan saham Hartalega kepada 'beli' berbanding 'neutral' kerana penstrukturan harga saham baru-baru ini memberi lebih banyak ruang bagi perolehan modal," jelas MIDF Research.

 

MIDF Research mengambil pendekatan mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) Hartalega sebanyak RM8.40.

 

Dalam keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2021 yang dimumkan semalam, syarikat berkenaan mencatatkan lonjakan sembilan kali ganda keuntungan bersih kepada RM2.26 bilion berbanding RM219.72 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan turut meningkat 324% kepada RM3.9 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM920.09 juta.

 

Baca: Hartalega nikmati 'durian runtuh', untung bersih melonjak 9 kali ganda

 

Sementara itu, Mplus Research memberitahu, perolehan yang dicatatkan pada suku pertama 2022 itu melebihi jangkaan pihaknya iaitu sebanyak RM3.51 bilion.

 

Jelas Mplus Research, prestasi tersebut dipacu oleh peningkatan ASP dan jumlah jualan yang lebih tinggi berbanding jangkaan meskipun syarikat tersebut berdepan masalah logistik pada Mac 2021.

 

"Hingga kini, lapan daripada 10 barisan di bawah Plant 7 NGC mula beroperasi. Kami mengambil maklum bahawa penjualan pada suku tersebut dipengaruhi oleh masalah logistik, namun sebahagian besarnya diimbangi oleh jumlah pesanan jualan yang lebih tinggi ketika tahap permintaan berkurangan.

 

"Kami mengunjurkan permintaan akan tetap berdaya tahan didorong oleh tahap kesedaran penjagaan kesihatan, meningkat sekitar 10.0% hingga 15.0% p.a," jelas Mplus Research. - DagangNews.com