Ann Joo diunjur catat kerugian pada FY23 kesan ASP keluli yang lemah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Ann Joo diunjur catat kerugian pada FY23 kesan ASP keluli yang lemah, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Kenanga Research menjangkakan Ann Joo Resources Berhad mencatatkan kerugian pada FY23 kesan daripada purata harga jualan (ASP) keluli dan jumlah jualan yang lemah.

 

Firma penyelidikan itu juga menyemak turun pendapatan kumpulan itu sebanyak 37% bagi FY24.

 

Katanya, prospek bagi sektor keluli di peringkat global adalah lemah kesan daripada cabaran ekonomi di China dan kelembapan daripada pelbagai ekonomi maju.

 

"Bagaimanapun, permintaan keluli domestik diunjur meningkat didorong pelancaran projek MRT3 bernilai RM45 bilion dan enam projek tebatan banjir yang dilaporkan bernilai RM13 bilion.

 

"Perbelanjaan pembangunan kasar bernilai RM97 bilion menerusi Bajet 2023 akan dipercepatkan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, keputusan 1HFY23 adalah mengecewakan selepas mencatatkan kerugian teras bersih sebanyak RM34 juta, berbanding ramalan keuntungan bersih setahun penuh sebanyak RM12 juta dan anggaran keuntungan bersih konsensus setahun penuh sebanyak RM34 juta.

 

Varians terhadap ramalan itu sebahagian besarnya datang daripada permintaan yang lebih lemah dan ASP untuk produk kelulinya.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu percaya bahawa terdapat peningkatan dalam permintaan domestik menjelang tempoh pembinaan puncak dalam pasaran tempatan, biasanya pada September dan Oktober tahun ini.

 

Dalam keadaan yang lebih cerah, harga keluli boleh disokong oleh kekangan bekalan dan kos input seperti bijih besi, besi buruk dan arang kok adalah lebih stabil.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 73 sen berbanding 75 sen sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com